Kuota 30 peratus perlu bermula di peringkat cawangan

>> Monday, July 12, 2010

Kuota 30 peratus perlu bermula peringkat cawangan

SAIDAH HAIRAN

JARANG melihat atau mendengar seorang wakil rakyat bergelar exco gemar menaiki bas dari Kelantan ke Kuala Lumpur atas urusan parti dan kerajaan. Hakikatnya, exco lebih selesa menaiki kapal terbang atau kereta yang berlambang exco.

Mempunyai pemandu yang bukan saja memandu tetapi turut membuka pintu untuk exco tersebut masuk dan keluar kereta.

Bagi exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan; Wan Ubaidah Omar pangkat bukan satu peluang untuk mengecapi segala kemewahan dan kesenangan tetapi ia merupakan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan secara jujur.

Adun Kijang yang menang tanpa bertanding itu memilih menaiki kapalterbang jika urusan tersebut perlu disegerakan. Bagaimanapun, katanya bas menjadi pilihan utama sejak menjadi Senator.

Sembang santai bersama beliau selama empat puluh lima minit di pejabat Dewan Muslimat PAS Pusat, Jalan Raja Laut dilakukan secara kebetulan, tanpa ada temujanji terlebih dahulu.

Inilah mudahnya berurusan dengan Adun Kijang yang menang tanpa bertanding dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Bercakap dalam isu tuntutan Muslimat 30 peratus di peringkat tertinggi dan penggubal dasar katanya, Muslimat perlu bersedia dan memikirkan adakah mereka mempunyai calon yang layak untuk mengisi jawatan tersebut.

Dalam masa yang sama tambah beliau, PAS perlu memberi ruang atau peluang kepada muslimat kerana muslimat memang terkenal dengan sifat `low profile', pemalu dan bakat mereka perlu dicungkil.

Beliau yang juga Bendahari Muslimat PAS Pusat menegaskan kuota 30 peratus itu tidak semestinya terus di peringkat tinggi tetapi perlu dimulakan di peringkat cawangan.

Perlu ada 30 peratus di peringkat Majlis Tindakan Dun (MTD) barulah bakat-bakat Muslimat ini dapat dilahirkan, jika terus hendak minta 30 peratus di peringkat penggubal dasar, beliau beranggapan Muslimat masih belum bersedia.

"Saya harap PAS mulakan di peringkat cawangan dan MTD, insyAllah apabila ada ruang di peringkat bawah maka akan ada calon-calon di peringkat atasan khususnya di peringkat pembuat keputusan," katanya.

Sebenarnya dalam perkara itu kata beliau, tidak semua Muslimat bersedia kerana tidak ada pendedahan, jika ada pendedahan Muslimat akan lebih memahami.

Ini kerana katanya, politik itu tidak seperti bekerja di sebuah organisasi tetapi politik itu banyak seni dan pertimbangan tertentu, jadi seni itulah yang perlu pada pengalaman dan pendedahan.

Sebagai AJK PAS Pusat yang dilantik beliau mencadangkan mana-mana Muslimat yang sudah bersedia masuk PAS tidak boleh terus diletakkan sebagai calon kerana ia akan menimbulkan masalah.

Muslimat tersebut perlu diberi pendedahan di peringkat parti sekurang-kurangnya di peringkat cawangan dan kawasan, jika ada pengalaman lebih baik sebab mereka akan memperlihatkan perjalanan parti dan gerakan politik.

Beliau berusaha mahu mengengahkan Muslimat yang berkemampuan bukan kerana mereka wanita tetapi kerana mereka mempunyai kemahiran dan kemampuan. Sebab itu, daripada semua sudut mesti ada wakil
Muslimat kerana muslimin tidak dapat memikirkan keperluan wanita.

"Jika ada muslimin dan muslimat yang sama berkemampuan, mengapa tidak diambil muslimat untuk berada di peringkat atasan," soalnya.

InsyAllah ramai Muslimat yang berkemampuan contohnya di Kelantan, YB Rohani Ibrahim (Tanjong Mas) wakil rakyat yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedekasi dan kemungkinan besar muslimin tidak mampu untuk sampai ke tahap itu.

Beliau mengingatkan apa yang penting jika ada muslimat dan muslimin yang sama berkemampuan jangan meletakkan muslimin disebabkan telah banyak pengalaman dan mempunyai hubungan baik tetapi perlu dinilai atas kemampuan.

Muslimat memang terkenal dengan sifat `low profile' tidak suka menonjol berbanding muslimin yang sentiasa hendak kedepan. Sebab itu Muslimat minta kuota di peringkat cawangan dan MTD.

Jika sudah ada kuota tersebut penampilan mereka lebih dilihat dan dari situlah permintaan untuk ke peringkat lebih tinggi sebagai calon dan sebagainya.

Ibu tunggal yang mempunyai tujuh orang anak itu amat menghormati Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Seri Bentara Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat daripada sudut ilmu dan cara menangani masalah rakyat dan ahli parti.

Kegigihan pejuang Muslimat, Zainab Al-Ghazali yang tidak meninggalkan perjuangan walaupun berada dalam penjara amat menyuntik semangat beliau untuk terus berada dalam jemaah PAS.

Begitu juga dengan pengorbanan isteri Rasulullah, Siti Khadijah yang tidak sayang dengan harta bendanya untuk dikorbankan kepada perjuangan Islam. Manakala keilmuan yang ada pada Siti Aisyah turut mendorong semangat beliau untuk terus menimba ilmu dunia dan akhirat.

Dalam melayari kehidupan katanya, "Jika hendak tahu rasa kita susah atau tidak, kita kena melihat orang yang lebih susah daripada kita."

Tugas sebagai exco dan Adun Kijang bukan satu perkara yang mudah tetapi disebabkan amanah rakyat dan kerajaan, beliau cuba berusaha menjalankan tugas sebaik mungkin.

Sebagai exco beliau sentiasa memikirkan dasar-dasar dan program untuk membangunkan wanita yang banyak menyentuh dan memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya ada dua kerja adun dan exco. Sebenarnya berat kerja exco Wanita dan Keluarga yang merangkumi seluruh wanita negeri Kelantan. Saya lebih suka buat kerja yang saya boleh buat," katanya.

Beliau mula memegang jawatan sebagai Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pekan (Kuantan) tahun 1984. Selepas itu beliau menjadi AJK Dewan Muslimat PAS Kawasan Pengkalan Chepa (Kelantan) dan kini sebagai Timbalan Ketua Muslimat PAS Kelantan.

Tugas sebagai Adun, exco, timbalan Ketua Muslimat Kelantan serta Bendahari Muslimat PAS Pusat memerlukan masa, tenaga serta pengorbanan daripada keluarga.

Menyedari hakikat itu beliau bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang faham dan tidak pernah memberontak jika program keluarga terpaksa dibatalkan semata-mata memenuhi tuntutan jemaah atau kerajaan.

"Kefahaman keluarga sangat penting, sejak Almarhum suami saya ada anak-anak memang sudah kenal dengan program parti (PAS). Jadi sekarang saya tidak payah untuk berkempen kerana mereka sudah bersama dalam perjuangan," katanya.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP