PAS Johor perlu pendekatan baru

>> Tuesday, February 8, 2011


SAIDAH HAIRAN

JANJI PAS untuk membuat kejutan pada Pilihan Raya Kecil DUN Tenang sudah tercapai. Bukan kejutan menawan DUN Tenang, tetapi kejutan memberi kemenangan lebih besar kepada Umno-BN.

Ketika pengumunan calon, pimpinan Pakatan Rakyat sudah memberi laluan kepada Umno-BN untuk mengekalkan kerusi DUN Tenang. Ini dapat dilihat apabila kebanyakan pimpinan Pakatan Rakyat, khususnya PAS membuat kenyataan hanya meletakkan `target' untuk mengurangkan majoriti; bukan menawan kerusi DUN Tenang.

Kenyataan awal itu memberi gambaran bahawa PAS tiada keyakinan untuk menawan DUN Tenang. Jadi, tidak hairan PAS kalah di DUN Tenang bahkan gagal untuk mengurangkan majoriti Umno-BN. PAS daripada awal sudah tahu akan kalah dan menempah untuk dikalahkan.

Suasana hujan lebat ditambah dengan banjir di beberapa UPU menyebabkan Umno-BN hanya mendapat 6699 undi. Manakala PAS pula hanya mendapat 2992 undi. Majoriti 3707 meningkat 1215 berbanding Pilihan Raya Umum 2008.

Umno mesasarkan majoriti lebih besar 5000. Hujan dan banjir memberi rahmat kepada PAS kerana ramai pengundi yang tidak dapat keluar. Jika tidak, Umno akan mendapat undi lebih besar dan mungkin tercapai sasaran mereka untuk mendapatkan undi lebih besar.

Memang diakui Johor negeri kubu Umno-BN. Agak sukar untuk PAS menembusi negeri Johor sesukar Umno-BN merampas negeri Kelantan. Kebanyakan rakyat Johor berpendidikan agama tetapi mereka hanya menjadikan agama itu sebagai satu mata pelajaran.

Rakyat Johor ada kumpulan Berzanji dan kumpulan Yasin. Setiap minggu mereka akan berkumpul membaca Yasin di rumah-rumah yang ditentukan. Begitu juga ketika hari raya, mereka ada kumpulan Marhaban. Aluanan selawat bergema di setiap buah rumah yang dikunjungi selama sebulan Syawal. Inilah uniknya, rakyat Johor.

Mungkin rakyat luar dari Johor akan memperlekehkan budaya itu. Namun, budaya itulah yang menyebabkan hubungan mereka bertambah erat dan sukar untuk PAS menarik ahli mereka jika tidak mendekatinya terlebih dahulu.

Kempen PRK di Johor berbeza dengan negeri-negeri lain. Pimpinan Muslimat PAS Johor sering mengingatkan jentera PAS tidak membuat kempen secara lantang; jangan menggunakan lambang PAS; jangan memakai t'shirat berlambang PAS; tidak memakai topi PAS dan apa saja yang ada lambang PAS.

Persoalannya, kenapa? Apakah masyarakat Melayu Johor khususnya di Felda terlalu takut dengan lambang PAS. Jika benar, itu menunjukkan bahawa PAS Johor kurang mendekati mereka dan kurang menampilkan atau memperkenalkan diri sebagai ahli PAS.

Jika mereka sudah biasa melihat lambang PAS atau sudah mengenali pimpinan PAS cawangan, Kawasan dan negeri sudah tentu tidak menjadi masalah untuk jentera PAS luar dari Johor menggunakan apa saja tanda PAS ketika berkempen.

Agak rugi sedikit Pengerusi Anak, Mazlan Aliman tidak mengambil kesempatan cabaran Timbalan Menteri, Dato' Ahmad Maslan berdialog bagi menyelesaikan masalah tanah Felda.

Walaupun ia dialog tertutup tapi sekurang-kurangnya rakyat khususnya peneroka Felda generasi kedua boleh melihat keberanian Mazlan menyahut cabaran Ahmad Maslan. Jika cabaran itu disahut sudah tentu nampak kesungguhan dan ketelusan Mazlan selaku Ketua Penerangan PAS Negeri Johor mahu menyelesaikan masalah Felda.

Pengundi Felda terutama generasi pertama rata-rata mengatakan cukuplah orang Felda semua sudah ada, pendapatan sebulan tidak kurang RM1000, itu yang tidak bekerja jika bekerja sudah tentu mereka mendapat wang yang lebih.

Bagaimana PAS hendak mengubah fikiran orang seperti itu. Adakah cukup sekadar mengatakan; 'Biarlah...orang tua yang sudah karat biru tak payah didekati, kita dekati orang muda'.

PRK sudah berlalu, persoalananya apakah Tenang boleh dijadikan medan perubahan atau kunci semangat juang untuk PAS melakukan perubahan di negeri Johor?

Apakah ceramah perdana, ceramah kelompok masih sesuai digunakan untuk memikat pengundi di Johor?

Di Labis semua ceramah yang diadakan memang mendapat sambutan hangat. Memang ramai pendengar. Malangnya mereka yang hadir mendengar ceramah merupakan jentera Pakatan Rakyat khasnya PAS.

Jika ada pengundi mungkin boleh dikira dengan jari. Justeru, PAS Johor perlu mendekati pengundi DUN Tenang jika mahu menawan kerusi tersebut dalam Pilihan Raya Umum nanti. Gerak kerja mendekati mereka perlu dilakukan terus tanpa menunggu pengumuman daripada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak tarikh pilihan raya umum.

Cikgu Normala Sudirman selaku Ketua Muslimat PAS Labis perlu menggembelingkan tenaga dan menggerakkan jentera Muslimat untuk teus melakukan khidmat kepada masyarakat Labis. Kerja-kerja mendekati masyarakat perlu dilakukan tanpa batasan kaum, agama dan bangsa.

Beliau mesti bekerja secara `team work' bukan bersendirian. Banjir yang melanda Labis amat sesuai untuk beliau dan jentera PAS Labis meneruskan khidmat kepada mangsa. Berikan sesuatu yang boleh dikenang oleh masyarakat Labis, bukan sekadar pemberian lakonan semata-mata. Dekati mereka dengan roh perjuangan bukan sandiwara politik.

Berhadapan dengan Umno-BN yang menggunakan segala jentera kerajaan dan media bukan satu perkara yang mudah. Berbanding PAS yang hanya mempunyai suara dan kemahiran berceramah serta berhujah.

Namun segala kemahiran ceramah dan berhujah itu tidak cukup untuk menawan hati pengundi. Rakyat mahu sesuatu yang mereka boleh nampak dan rasai. `Sesuatu' itulah yang ada pada Umno-BN.

Jika Kelantan merupakan aset tetap PAS tidak mustahil Johor juga menjadi aset Umno-BN. Rakyat Johor memang sudah sebati dengan Umno-BN. Mata mereka hanya nampak Umno-BN. Mereka hanya mengenali pimpinan Umno-BN di semua peringkat.

Bawalah isu kenaikan harga barang-barang, harga petrol, harga gula; sedikit tidak akan mengugat keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap kewibawaan dan kepimpinan Umno-BN.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin Jaffar pernah menyebutkan; rakyat di mana-mana negeri tidak akan mempunyai kesedaran politik jika masyarakat di Lembah Kelang tidak bangkit membuat satu protes terhadap apa saja isu yang berkisar dengan kehidupan rakyat.

Ini dapat dibuktikan kemenangan luar biasa PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum 1999 dan 2008. Masyarakat di Lembah Kelang banyak melakukan demonstrasi membantah kenaikan minyak melalui Protes, begitu juga dengan tuntutan perjalanan Pilihan Raya yang telus melalui Bersih.

Semua ini memberi kesan kepada rakyat di seluruh negara untuk membuat perubahan kerana mereka sedar kerajaan Umno-BN menindas kehidupan mereka. Jika masyarakat di Lembah Kelang lemah tidak peka dengan kenaikan RON 97 ke harga baru RM2.50, apa lagi pengundi di DUN Tenang dan Johor sudah tentu akan terus hidup selesa di bawah Umno-BN.

Rakyat Johor memang sukar untuk membuat perubahan minda dan kesedaran politik melalui ceramah dan bahan bacaan. Mungkin hanya satu jalan saja yang boleh mendatangkan kesan; iaitu melalui demo atau berarak menentang apa saja kenaikan atau pelaksanaan yang dilakukan Umno-BN.

Mungkin dengan cara itu dapat memberi kesedaran politik khususnya kepada rakyat Johor.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP