Rakyat Sabah diberi alamat Shah Alam untuk PRU
>> Wednesday, February 16, 2011
SAIDAH HAIRAN
SHAH ALAM: Jabatan Pendaftaran Negara didakwa bersubahat dengan Umno Bahagian Kota Raja melakukan pertukaran alamat kepada rakyat Sabah untuk mengundi di Kawasan Shah Alam pada Pilihan Raya Umum ke13.
Perkara itu disahkan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Raja, Cikgu Jaafar Samsudin bersama AJKnya yang kebetulan berada di tempat operasi pertukaran alamat di seksyen 11, Shah Alam.
Harakah yang turut berada di tempat itu, mendapati sebuah bas Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) nombor pendaftaran BGS 5488 berada di hadapan Pejabat Umno Shah Alam dengan beberapa orang kakitangan JPN sedang membuat pengesahan pertukaran alamat rakyat Sabah.
Sebelum itu rakyat Sabah diarahkan mengisi borang pertukaran alamat di tingkat 3, bangunan Umno Shah Alam dan selepas itu mereka dikhendaki naik bas secara bergilir-gilir bagi mendapatkan pengesahan wakil JPN.
Pengesahan pertukaran alamat itu dilakukan dalam bas yang bertutup dan hanya mereka yang membawa borang pertukaran saja dibenarkan menaiki bas tersebut.
Beberapa rakyat Sabah yang ditemui mendedahkan pertukaran alamat itu dilakukan atas arahan Umno dan bertujuan untuk mengundi pada PRU akan datang.
Mereka diangkut dari Taman Sri Muda, Shah Alam dengan menggunakan dua bas nombor pendaftaran NR 9417 dan BFM 3804.
Menurut seorang rakyat Sabah berkata, mereka dijanjikan sesuatu oleh pihak tertentu dan ada dikalangan mereka dipanggil untuk tujuan lain tetapi sampai di situ buat perkara lain.
Perbualan wakil PAS bersama beberapa orang rakyat Sabah diperhatikan oleh pihak Umno dari atas bangunan dan selepas beberapa minit, seorang wanita yang dipercayai Wanita Umno menghampiri kami dan menjemput naik ke tingkat tiga bangunan Umno.
Bas JPN beredar sekitar jam 2.15 petang sabtu manakala wanita yang menemui kami turut beredar selepas memerhatikan kami dari dalam kenderaannya.
Sehubungan itu, Cikgu Jaafar akan membuat laporan kepada pihak berkenaan dan tindakan tegas perlu diambil kerana ternyata Umno dengan kerjasama JPN telah melakukan penipuan besar.
"Buatlah apa sahaja kempen, edarkan risalah kepada penduduk Selangor, semua itu tidak akan berkesan kerana Umno dan JPN telah melakukan pertukaran alamat dengan membawa masuk rakyat Sabah untuk mengundi," katanya.
Beliau berkata, ini berlaku di Shah Alam bagaimana dengan kawasan lain di negeri Selangor.
0 comments:
Post a Comment