Dana Kelab membiayai projek negeri Pakatan Rakyat

>> Wednesday, December 1, 2010


SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan memulakan inisiatif pemula sebanyak RM10 juta untuk `dana kelab' bagi membiayai projek di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap dalam sidang Kemuncak Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat di seksyen 7, Shah Alam, 29 November lalu.

Menurut beliau, dengan dana pemula itu negeri-negeri Pakatan Rakyat akan membentuk dana untuk pelaburan yang akan menambah nilai jumlah keseluruhan pelaburan masuk dalam negara.

Katanya, amat penting negeri-negeri Pakatan Rakyat melibatkan diri secara aktif dalam pelaburan bukan sekadar berpuas hati dengan sikap tunggu dan lihat.

Beliau berpandangan, negeri Pakatan Rakyat boleh menyediakan nilai tambah dengan kekuatan dasar dan institusi kerajaan negeri yang menjadi kerajaan terbuka dengan amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

"Kita perlu memberikan tumpuan untuk meningkatkan kerjasama dalam mengoptimumkan kekuatan ini kerana dana ini akan menjadi alat sumber pelaburan untuk ekonomi negeri," tegasnya.

Dana kelab itu kata beliau, membolehkan kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat melibatkan diri secara langsung dalam pelaburan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Kekuatan di Selangor dan Pulau Pinang katanya, pada sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan manakala di Kedah dan Kelantan pula tertumpu pada pertanian.

"Fokus kepada peningkatan elemen unik dan berkualiti boleh menonjolkan kelebihan yang ada pada negeri-negeri kita," katanya.

Menurut beliau, pasaran pelaburan pengguna khususnya dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura boleh didekati kerana Malaysia mampu menawarkan perkhidmatan bagus pada nilai lebih rendah berbanding Singapura.

Hakikatnya kata beliau, empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat telah menyumbang lebih daripada separuh pelaburan dalam negara dan ini negeri-negeri Pakatan berperanan besar.

Persidangan selama sehari hingga malam itu dihadiri Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Perak, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin; Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustapa Ali; Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh serta pimpinan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP