Nuridah bagaikan `Lipas Kudung'...

>> Thursday, December 2, 2010
















Laporan dan foto: SAIDAH HAIRAN

SIAPA sangka wanita bertubuh kecil dan beranak 10 `ligat' bergerak bagai `lipas kudung'. Urusan sekolah, anak-anak, suami, menyampaikan kuliah agama, urusan parti segalanya dilaksanakan tanpa banyak karenah.

Panggilan Nora, Nur dan Nuri adalah orang yang sama. Nur panggilan manja daripada suaminya. Nora dan Nuri pula panggilan daripada sahabat dan rakan kenalan. Itulah Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, 49 tahun.

Jadual harian yang padat dengan program parti, kuliah agama di pejabat kerajaan dan swasta; tidak dijadikan alasan untuk menyerahkan tanggungjawab sebagai ibu kepada suaminya, Mohd Azmi.

Sebaliknya, beliau melayari rumahtangga dengan melayani kehendak 10 orang anaknya disamping tuntutan suami dan ibu serta mertua dengan adil dan penuh kasih sayang.

Sekali pandang agak serius orangnya. Apabila sudah seperjalanan, sekatil dan sepinggan makan; ternyata beliau seorang pimpinan, ibu dan kakak yang berjiwa sentimental.

Namun, ada kala keseriusannya terpancar apabila ada beberapa urusan parti atau jemaah yang tidak dapat dilaksanakan oleh anak buahnya.

Karenah anak bongsu, Summaiyah Mohd Azmi, 7, tidak dilayan sepenuhnya. Beliau sering mengingatkan anak-anaknya terutama Summaiyah dan Fatimah Az-Zahra, 9, kerja dakwah itu lebih penting kerana banyak masalah umat Islam yang belum selesai.

Rayuan anak-anak perempuan seramai lima orang supaya membatalkan program kurban di Selatan Mindanao, Filipina bersama Yayasan Amal Malaysia pada 16 hingga 19 November (Aidil Adha) tidak dihiraukan.

Lima jam sebelum berlepas ke LCCT, beliau sempat memenuhi kehendak anak-anak perempuannya menyediakan kuah kacang untuk dimakan dengan nasi impit, pada pagi Aidil Adha.

Inilah pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu; terpaksa mengejar masa setiap hari semata-mata mahu memenuhi kehendak anak, suami, keluarga dan jemaah.

Ketika Kedah dan Perlis dilanda banjir besar, tanpa dirancang awal, beliau bersama AJK Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Pusat menyampaikan bantuan makanan dan duit kepada mangsa yang tidak berpindah.

Beliau mengharung banjir paras lutut dan peha semata-mata kerana simpati dengan mangsa banjir. Selepas selesai menghantar bantuan, beliau bergegas balik ke Kuala Lumpur kerana tuntutan kerja esok sedang menanti.

Kesungguhan dan keprihatinan beliau terhadap ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim serta golongan yang memerlukan menjadi keutamaan untuk dihulurkan bantuan.

Tanggal 4 Syawal Nuridah bersama keluarganya serta Pengerusi Gabungan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyelusuri ibu tunggal, anak yatim serta golongan memerlukan bantuan di Felda Taib Andak dan Felda Bukit Besar, Kota Tinggi untuk diberi bantuan duit dan makanan.

Beliau turut bersimpati dengan nasib rakyat Sabah yang dinafikan hak memiliki tanah oleh kerajaan BN. Atas keprihatinan itu, beliau menyokong usaha Anak dengan menghadiri himpunan tersebut di dewan Hakka, B 6 Sandakan, Sabah, 24 Oktober lalu.

Kekangan masa tidak menghalang beliau untuk terus mendekati masalah rakyat di Sarawak. Nuridah yang lebih mesra dengan panggilan `kak Nuri' berusaha menyelami penderitaan lebih 100 masyarakat Sarawak yang tinggal di kandang ayam di Nyabing, Batu Belaga, Bintulu.

Bertubuh kecil ketinggian sekitar 5 kaki 2 inci tapi mampu menandingi muslimin untuk terus berjalan dari masjid kampung Baru ke Kedutaan AS, di jalan Tun Razak sejauh lima kilometer untuk menyerahkan memorandum membantah kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.

Di mana dan apa saja demo, pasti beliau berada di hadapan. Akibat daripada itu, beliau kini menghadapi dakwaan menyertai himpunan haram dan masih dibicarakan. Dua kali beliau ditahan pertama kerana menghadiri himpunan menuntut penurunan harga petrol di KLCC dan menuntut kerajaan BN supaya mengadakan pilihan raya telus.

Pimpinan Dewan Harian PAS Pusat ini tidak pernah mementingkan protokol. Sikap bersangka baik dan tidak pernah menyimpan dendam kepada sesiapa menjadikan wajah beliau sentiasa berada dalam ketenangan.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP