Gelang ke rakyat?

>> Wednesday, October 19, 2011




Kasih rakyat melenyapkan niat membeli seutas rantai

SAIDAH HAIRAN

Manusia memerlukan wang. Wang amat perlu untuk meneruskan kehidupan. Namun berapa ramai yang sanggup melupakan kepentingan diri hanya semata-mata mahu melihat orang lain bahagia?

Apabila wang berada dalam tangan, sanggupkah kita menyerahkan sebahagian wang itu untuk membela nasib orang lain? Sifat keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik ini ada dalam diri ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Siti Zailah Mohd Yusof.

Elaun yang diperolehi hasil tanggungjawab sebagai wakil rakyat bukan miliknya. Potongan sebanyak 80 peratus diserahkan kepada rakyat Rantau Panjang terutama golongan kurang bernasib baik.

Inilah kehebatan Siti Zailah yang mesra dengan panggilan `kak Lah'. Kebajikan rakyatnya dijaga. Beliau amat prihatin dan sedih dengan nasib rakyat Kelantan khususnya Rantau Panjang yang terlibat dengan bencana banjir setiap tahun.

Sepanjang menjadi ahli Parlimen, beliau pernah terdetik untuk membeli seutas rantai tangan. Namun, memikirkan kedaifan rakyatnya, impian itu dilenyapkan. Tanpa disedari air mata beliau mengalir ketika meluahkan perasaan sedih melihat kedaifan rakyatnya.

Beliau merupakan antara ahli Parlimen Muslimat PAS yang lantang membela nasib wanita dan golongan kurang bernasib baik di Dewan Rakyat Atas kelantangan dan keberanian itu, beliau sekali lagi diberi amanah dan tanggungjawab sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat oleh perwakilan seluruh negara.

Langkah pertama selepas dipilih Ketua DMPP, beliau bersama Timbalannya, Dr Siti Mariah Mahmood membuat laporan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur supaya editor Utusan Malaysia dibicarakan atas tuduhan menghina dan mempermainkan hukuman Qazaf.

Dalam kesibukan sebagai ahli Parlimen dan Ketua DMPP, perhatian terhadap Muslimat di seluruh negara tetap dilakukan. Sepanjang ramadan beliau menyelusuri golongan kurang bernasib baik di seluruh negara untuk diagih bantuan.

"Kak Lah amat tersentuh hati melihat kedaifan rakyat Sabah. Rumah mereka kebanyakan dibina di atas paya yang bertakung air. Persekitaran rumah memang kotor, busuk dan tidak selamat untuk anak-anak," katanya.

Beliau yang ditemui selepas pulang dari Tawau, Sabah memaklumkan, amat malang kerana kedaifan itu berlaku di negeri yang diperintah BN lebih 50 tahun.

Sedangkan tambah beliau rumah pimpinan BN dalam kawasan yang sama tersergam besar dan indah begitu juga rumah kroni BN.

"Saya menyeru sudah tiba masanya rakyat Sabah berani membuat perubahan menukar kepimpinan yang membela nasib mereka iaitu pimpinan Pakatan Rakyat," katanya.

Kemesraan dan keperihatinan yang ditonjolkan ketika menziarahi masyarakat di kampung membuktikan itulah sifat sebenar Zailah. Warga emas disantuni, golongan muda dihormati kanak-kanak disayangi.

Pengamatan penulis mendapati kesungguhan dan keprihatinan wakil rakyat dan pimpinan Muslimat ini bukan lakonan jauh sekali bersifat politik kepartian.

Pepatah Melayu mengatakan; 'Hanya jauhari yang mengenal manikam'.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP