>> Sunday, October 16, 2011


Persatuan bekas anggota Tentera Malaysia ibarat Pejabat Pos

SAIDAH HAIRAN

SERDANG JAYA: Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Kerabat) menyamakan peranan Persatuan Pertubuhan Bekas Angkatan Tentera Malaysia ibarat satu pejabat pos sahaja.

Ini kerana selama persatuan itu diwujudkan hampir 75 peratus anggota dan bekas tentera hidup dalam kesempitan sehingga ada yang terpaksa menjual air tebu dan goreng pisang di tepi jalan.

Perkara itu didedahkan oleh Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar pada himpunan bekas tentera bersama rakyat dan kepimpinan Pakatan Rakyat, di stadium tertutup Majlis Perbandaran Serdang Jaya, Serdang.

Menurut beliau, disebabkan mereka tidak mendapat peruntukkan sebagaimana sepatutnya ramai di kalangan bekas tentera yang terpaksa tinggal di rumah pusaka atau duduk dengan saudara mara mereka.

Tegas beliau, selama ini tidak ada satu pertubuhan yang memperjuangkan nasib bekas anggota tentera supaya kehidupan mereka terbela.

Sehubungan itu, beliau mewakili bekas anggota tentera menyerahkan memorandum dengan lapan tuntutan kepada pimpinan Pakatan Rakyat, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail agar kebajikan anggota tentera dan veteran diperjuangkan.

Beliau memaklumkan berdasarkan Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) bertarikh 29 Ogos 1973, setiap anggota tentera dan isteri dijanjikan hak memohon 20 ekar tanah pertanian dan dua tapak perumahan dari kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (Kementah).

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan rekod Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA) Kementah tidak sampai 100 anggota tentera memperolehi tanah yang dimaksudkan itu.

Beliau yang berkhidmat dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) selama 28 tahun terkilan kerana faktor birokrasi pejabat tanah tempatan menyebabkan permohonan mereka gagal.

Ditambah pula katanya dengan kehidupan tentera yang sentiasa berada di perbatasan sama ada di laut atau udara sehingga mereka sukar meninjau tanah untuk dipohon.

Ekoran itu tambah beliau, terdapat 150,000 bekas tentera telah terlepas peluang menikmati hak keistimewaan itu dan akhirnya lenyap begitu sahaja tanpa sebarang usaha dari kementerian bertanggungjawab.

Beliau menegaskan, itu merupakan pencabulan hak asas kehidupan anggota tentera untuk mendapatkan peluang memiliki tanah perumahan dan pertanian yang termaktub dalam akta dan diluluskan oleh kabinet.

Justeru dalam penyerahan memorandum itu, beliau berharap kerajaan Pakatan rakyat dapat melaksanakan apa yang sepatutnya diberikan kepada bekas anggota tentera serta menyokong lapan tuntutan yang terkandung dalam resolusi tersebut.

"Saya yakin sebelum memerintah Pakatan Rakyat berjanji mahu memberi setiap anggota tentera 10 ekar tanah melalui pembubaran Felda Plantitions," katanya.

Selain itu, katanya, Kerabat juga mahu kerajaan dapat memberikan peruntukkan Dana Khas dan merancang Plan Dasar penempatan Bandar Baru Veteran yang lengkap dengan prasarana latihan medan tempur untuk bekas tentera.

Turut hadir dalam himpunan kali pertama itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman; Setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Faekah Hussin; AJK Pemuda PAS Pusat, Suhaizat Kiyat dan 300 veteran tentera.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP