Epal hijau?

>> Monday, October 10, 2011

Kenapa epal menjadi penghubung antara gelombang dan hijau?

SAIDAH HAIRAN

Peribahasa Melayu mengatakan `Rumah siap pahat berbunyi'. Dalam kehidupan masyarakat hari ini gambaran yang diungkapkan dalam peribahasa ini sering berlaku. Maksud peribahasa ini dikaitkan dengan keputusan yang telah diambil setelah cadangan dikemukakan tetapi masih ada lagi suara-suara yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Pelancaran Ameerah dan Gelombang Epal Hijau di dewan Milinium, Kepala Batas sempena sambutan 60 tahun PAS mengundang pelbagai reaksi negatif dan positif. Kedengaran suara-suara di belakang tabir mempersoalkan, kenapa epal hijau? Bukankah epal hijau itu masam?

Begitu juga timbul persoalan siapa itu `Ameerah'? Apa fungsi unit itu dan apa kaitannya dengan Nisa'? Pelbagai persoalan timbul, namun ia hanya cakap-cakap di belakang tabir. Seharusnya jika unit itu sudah dilancarkan tidak timbul `sosek-sosek' di belakang tabir.

Tahniah di atas keberanian dan kesungguhan tenaga kerja muslimat yang bertungkus lumus menyiapkan gimik pelancaran Gelombang Epal Hijau dan Ameerah. Sudah pasti, Ketua Penerangan DMPP, Aiman Atirah Al-Jundi yang diamanahkan sebagai Pengarah Gelombang Epal Hijau mahu yang terbaik dalam pelancaran tersebut.

Hakikatnya...satu pelancaran terbaik dengan gimik buah epal hijau yang besar dengan warna menarik. Tahniah sekali lagi untuk seluruh tenaga kerja kumpulan tersebut.

Namun, seminit selepas pelancaran Gelombang Epal Hijau dan Ameerah; seluruh kepimpinan Muslimat tidak boleh duduk bergoyang kaki. Fikiran mereka mesti bergerak pantas untuk merancang dan melaksanakan strategi yang telah disusun.

Gelombang Epal Hijau merupakan simbol pelancaran Jentera dan Gerak Kerja Pilihan raya Muslimat PAS seluruh peringkat. Ia juga merupakan suatu kehadiran baru yang menjadi gelombang kekuatan PAS untuk mendepani musuh-musuh politik Islam.

Epal Hijau dijadikan simbol kepada jentera Pilihan raya Muslimat PAS. Jentera pilihan raya semestinya bersemangat tinggi, berjiwa kental, berani, mempunyai ilmu dan bijak menangkis dakwaan daripada pihak musuh.

Jentera pilihan raya Muslimat bukan sahaja berani berhadapan dengan Wanita Umno tetapi mereka mesti bijak menarik hati pengundi khususnya kaum wanita.

Justeru, apakah Epal Hijau ini sesuai dikaitkan dengan kekuatan, ketabahan, kesungguhan, keberanian Muslimat PAS dalam mendepani musuh-musuh Islam? Sedangkan, semua orang tahu epal hijau itu masam dan tidak ramai yang menggemarinya.

Kenapa epal itu dijadikan penghubung antara gelombang dan hijau? Kenapa tidak terus pada gelombang hijau, biru atau merah? Atau gelombang putih...sesuai dengan pemutihan daftar pemilih?

Kewujudan entiti baru di bawah naungan Dewan Muslimat PAS iaitu Lajnah Politik Wanita Muda memberi ruang dan peluang kepada generasi muda untuk berjinak-jinak dalam dunia politik. Ini bersesuaian dengan nama unit tersebut ` Ameerah' bermaksud pemimpin wanita.

visi Ameerah kearah kepimpinan politik wanita muda bertaraf dunia, satu impian yang cukup jauh dan wajar diberi pengikhtirafan. Walaupun berdarah muda dan masih berjinak-jinak dalam dunia politik namun mereka mampu meletakkan visi untuk menjadi pemimpin bertaraf dunia.

Dengan wujudnya `Ameerah' menunjukkan sikap keterbukaan saf kepimpinan baru dalam Dewan Muslimat PAS Pusat. DMPP di bawah kepimpinan ahli Parlimen Rantau Panjang, YB Siti Zailah Mohd Yusof sudah pasti mahu melihat generasi wanita muda bergerak aktif dalam politik.

Sememangnya DMPP perlu menyediakan pelapis untuk menggantikan mereka suatu masa nanti. Begitu juga pimpinan Muslimat PAS di negeri-negeri dan kawasan.

Ameerah itu juga perlu diperturunkan di negeri-negeri. Supaya kepimpinan wanita muda bukan sahaja berada di Pusat tetapi berada di seluruh negeri termasuk kawasan. Mereka perlu diberi ilmu, diasuh supaya faham dan seterusnya mahir dalam dunia politik.

Muslimat PAS perlu menonjolkan diri sebagai pemimpin yang disegani, dihormati; selain mempunyai watak bijak dan bersederhana dalam penampilan. Pimpinan Muslimat perlu mempunyai sikap antaranya pemimpin yang berjiwa besar, tabah, sabar, penyayang dan menjadi pendengar yang setia.

Jauhkan sikap mudah melenting. Sukar mendengar pandangan dan kritikan, mengaku diri sentiasa betul dan orang lain salah. Jika pimpinan Muslimat bersikap negatif, mampukah Ameerah menjadi pemimpin muda yang bertaraf dunia?

DMPP kini mempunyai tiga unit khas yang dianggotai generasi muda. Ameerah dikhususkan untuk golongan muda yang minat berpolitik; Nisa' satu unit NGO berperanan menggerakkan aktiviti sosial bersama masyarakat.

Nisa' di bawah kepimpinan Senator YB Mumtaz Nawi mesasarkan golongan remaja beliawanis. Manakala Briged Muslimat pula golongan generasi muda yang berminat untuk kerja--kerja amal dan keselamatan muslimat.

Briged Muslimat membuka ruang kepada remaja yang berminat dengan aktiviti mencabar dan beruniform. Ketiga-tiga unit ini di bawah naungan DMPP. Jika tiga unit ini bergerak aktif ia akan memberi impak besar kepada PAS.

Keahlian PAS dan Dewan Muslimat akan bertambah. Secara tidak langsung keahlian mereka telah menyumbang penambahan undi kepada PAS.

Mungkin ini yang dimaksudkan dengan Gelombang Epal Hijau. Tarikan anak-anak muda di kalangan remaja dan dara sunti untuk meminati gerakan Islam, PAS. Epal hijau... walaupun masam adakalanya kita akan jumpa yang ranggup.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP