>> Sunday, October 16, 2011
Isu daftar pemilih dan kenaikan harga barang `mati' ditutup isu komunis
SAIDAH HAIRAN
Semua pihak dalam Pakatan Rakyat perlu menggunakan kesempatan dan peluang membesarkan isu daftar pemilih dan kenaikan harga barang untuk menggerakkan gelombang kebangkitan rakyat.
Isu ini perlu diberi penekanan serius di semua peringkat. Isu pendatang tanpa izin (Pati) yang begitu mudah mendapat Kad Pengenalan Biru (Mykad) serta berhak menjadi pengundi seolah-olah `mati' kerana ditutup dengan isu komunis dan Mat Indera.
Sedangkan isu komunis itu sengaja ditimbulkan oleh BN bagi mengelirukan rakyat terhadap isu sebenar yang boleh merosakkan negara.
Jika BN membuat serangan terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tanpa henti, kenapa pula Pakatan Rakyat tidak mengambil peluang menggunakan isu daftar pemilih dan kenaikan harga barang menekan BN pula?
Alasan tiada media untuk menyalurkan maklumat terutama kepada rakyat di ceruk kampung tidak boleh diterima. Ini kerana setiap parti PAS, DAP dan KeADILan mempunyai lajnah atau unit Penerangan.
Dalam PAS setiap cawangan, kawasan, negeri dan Pusat mempunyai lajnah Penerangan masing-masing. Sewajarnya unit itu digunakan sepenuhnya untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang isu sebenar.
Jika penerangan diberikan kepada rakyat tanpa henti melalui ceramah perdana, ceramah kelompok dan edaran risalah; tidak mustahil BN yang selama ini membodoh-bodohkan rakyat akan terhumban.
Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan BN sengaja membesarkan isu Mat Indera dan komunis dengan tujuan memesongkan fikiran rakyat seolah-olah PAS menyokong perjuangan komunis.
"Saya yakin perkara ini diputar belit menjelang pilihan raya ke13 dimana BN mahu menutup penyelewengan yang dilakukan dalam daftar pemilih," tegasnya.
Beliau berkata, hampir 700,000 nama yang ada dalam daftar pemilih tetapi tidak ada dalam senarai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan isu itu merupakan pencabulan kedaultan negara.
"Isu ini lebih besar daripada Mat Indera yang dibesar-besarkan oleh media atas arahan Umno-BN," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang yakin sebenarnya BN sudah kehabisan isu sebab itu mereka menggunakan strategi kotor dengan mengaitkan komunis dalam ceramah Mohamad Sabu.
Sedangkan dalam ceramah Timbalan Presiden PAS itu tidak langsung disebut tentang komunis sebaliknya semua yang disebut adalah fakta.
"Ini merupakan strategi atau perangkap BN untuk PAS kerana mereka sudah kehabisan isu," tegasnya.
Justeru beliau berharap para akademik yang mahir dengan sejarah tampil dan memberi penjelasan tentang sejarah negara dengan fakta yang benar.
Ini kerana kata beliau, kenyataan Profesor Zainal Kling amat mengelirukan rakyat di mana Malaysia tidak pernah dijajah.
"Kita melihat bagaimana isu Mat Indera telah dimanipulasi oleh Umno untuk memberi tekanan kepada Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya, ini strategi jahat BN sedangkan apa yang disebut oleh Mohamad Sabu adalah fakta sejarah," katanya.
Sementara itu, AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman tidak berasa bimbang dengan isu komunis yang dibesarkan kerana penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang dilakukan oleh BN sentiasa relevan kepada rakyat.
Perkembangan terkini pula kata beliau, caj prabayar sebanyak enam peratus menambahkan lagi bagaimana tertekannya BN menghadapi kemelut ekonomo daripada kepincangan yang ada.
"Saya yakin BN gagal menggunakan isu Mohamad Sabu, dengan perkembangan semasa ditambah kajian Merdeka center di mana enam peratus merundum sokongan terhadap BN, sudah pasti ini menguntungkan Pakatan Rakyat," tegasnya.
Bagi menggagalkan manipulasi BN itu, beliau menyokong usaha untuk mengadakan himpunan Bersih 3.0 dengan skala besar kerana pasti akan memberi kesan besar kepada sikap kerajaan BN selama ini.
Katanya, selama ini kerajaan berdolak dalik dalam isu biometrik dan kemasukan pendatang tanpa izin dengan mendapat kemudahan memperolehi Mykad.
Beliau yakin jika isu biometrik dan Pati tidak digegarkan sudah pasti Pakatan Rakyat akan menghadapi masalah besar dalam Pilihan raya umum ke13.
Di mana tambah beliau BN akan menggunakan sepenuh kuasanya untuk memperalatkan jentera kerajaan dengan membawa masuk pengundi di kawasan kritikal mereka.
"Mereka tahu mereka ada banyak kawasan kritikal sebab itu mereka akan tampung atau membawa masuk Pati, kita sedar penipuan ini akan dilakukan dalam PRU," tegasnya.
Justeru, beliau yakin dengan adanya himpunan Bersih 3.0 ia akan menghalang tektik atau strategi kotor yang akan terus digunakan oleh BN dalam setiap kali pilihan raya umum atau kecil.
Berhubung penubuhan Jawatankuasa Terpilih Pilihan Raya yang akan dibentang di Parlimen oktober nanti katanya, pilihan raya tidak boleh diadakan selagi jawatankuasa tersebut tidak menyelesaikan segala isu yang berkaitan.
"Isu-isu penting yang berkait dengan pilihan raya mesti diselesaikan dulu jika tidak penubuhan Jawatankuasa itu tidak bermakna," tegasnya.
0 comments:
Post a Comment