PAS jamin jadi pimpinan bukan Islam

>> Monday, June 28, 2010


SAIDAH HAIRAN

HULU SELANGOR: PAS berjaya memecahkan kebuntuan orang bukan Islam sehingga mereka boleh menerima orang Islam menjadi pemimpin tetapi mereka hanya mahu orang Melayu yang baik dan bukan orang Melayu yang jahat.

Menurut Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang inilah hasil kerjasama politik yang berjaya dilakukan oleh PAS apabila dapat memecahkan tembok perbezaan pendapat dan fahaman di antara orang bukan Islam terhadap PAS selama ini.

Katanya, PAS berjaya memecahkan kebuntuan orang bukan Islam apabila berjaya menarik DAP menerima Islam sebagai agama persekutuan dan hak istemewa orang Melayu.

"Hasil kerjasama politik yang baik diantara PAS dengan orang bukan Islam, PAS telah berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Institut Latihan Pilihan Raya PAS (ILPAS) di dewan Dato' Zainal, Batang Kali, Ahad lalu. Peserta ILPAS dihadiri pimpinan PAS seluruh negara.

Menurut beliau, ILPAS merupakan satu program latihan untuk petugas-petugas pilihanraya memahami peraturan pilihan raya secara lebih sistematik dan berkesan hingga ke akar umbi.

Selain itu beliau mengingatkan ahli dan pimpinan PAS bahawa pilihan raya amat penting dan berbeza dengan peperangan kerana pilihan raya bermatlamat mengajak orang menyertai perjuangan PAS.

Justeru katanya ahli dan jentera PAS perlu memahami ilmu pilihan raya seperti peraturan, strategi serta undang-undang pilihan raya.

Walaupun tambah beliau, dalam pilihan raya PAS berdepan dengan BN yang tidak mematuhi undang-undang pilihan raya tetapi ahli dan jentera PAS perlu memahami peraturan dan strategi pilihan raya.

Beliau turut mengingatkan ahli dan jentera PAS supaya memikirkan bagaimana mahu memecahkan undi ahli atas pagar yang tidak mahu menyokong Umno tetapi masih terikat dengan parti tersebut.

"Umno kini hanya bergantung dengan tongkat iaitu jentera kerajaan yang sekarang ini sudah banyak tidak bersama mereka," tegas beliau.

Bagi memecahkan undi Melayu yang masih ramai menyokong Umno katanya ahli dan pimpinan PAS perlu bijak menangani isu semasa.

"Kita kena perkenalkan perpaduan Islam yang adil untuk semua bangsa," katanya.

Beliau yakin dan percaya jika PAS boleh menunjukkan pengisian yang baik di negeri-negeri yang sudah diperintah kemenangan yang dimiliki pada pilihan raya ke12 akan berkembang ke negeri lain.

Selepas melancarkan ILPAS, beliau menyerahkan modul utama kepada pengarah pilihan raya bagi setiap negeri yang mengandungi dasar PAS, undang-undang pilihanraya, terknikal dan strategi pilihan raya.

Modul itu akan digerakkan di bawah Jabatan Pilihan raya PAS (JPP) bagi memastikan setiap petugas pilihan raya akan dibekalkan pengetahuan secukupnya sebelum mereka terlibat dalam pilihan raya umum dan kecil.

ILPAS mempunyai petugas sepenuh masa yang akan mengadakan latihan ke seluruh negara selepas mendapat kerjasam daripada PAS negeri dan Wilayah Persekutuan.

Turut hadir dalam pelancaran itu, penasihat ILPAS, Dato' Abdul Halim Abd Rahman; Pengarah ILPAS, Abdul Wahid Endut; Timbalan Pengarah ILPAS, Dr Siti Mariah Mahmod; Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad; Naib Ketua Ulama, Dato' Dr Mahfodz Mohammad; Pengerusi DPPP, Hu Pang Chaw.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP