Tangan menghayun buaian akan menggegar dunia?

>> Thursday, June 24, 2010


SAIDAH HAIRAN
Siapa sangka tangan yang menghayun buaian akan menggegarkan dunia suatu hari nanti.

Ini bukan iguan tetapi perlu diterjemahkan oleh seluruh wanita Islam khususnya Muslimat PAS yang baru selesai bermuktamar kali ke50.

Muktamar muslimat kali ini menampakkan kematangan dan kelainan jika dibandingkan dengan muktamar sebelum ini.

Tema Penggerak Kemenangan, Penyelamat Ummah bagaikan bertepatan dengan isu semasa yang berligar dalam kehidupan ummah.

Uniform hijau putih yang sinonim dengan baju anak-anak Pasti menarik minat wakil Hamas, Dr Abdul Muneer Said yang menjadi tetamu khas dalam Muktamar di Perdana Resort, Pengkalan Chepa, 10 Jun lalu.

Ketika diberi peluang berucap, beliau mengucapkan syabas kepada Muslimat kerana memilih warna hijau sebagai pakaian rasmi kerana ia merupakan syiar perjuangan dan warna rasmi Hamas.

Sudah tentu, ucapan syabas itu memberi sedikit kelegaan kepada Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang terpaksa mendengar kritikan sebelum itu, warna uniform yang sinonim dengan baju anak-anak Pasti.

Menurut Dr Abdul Muneer, Hamas merupakan satu parti yang digeruni dan menjadi musuh tetap Israel.

Israel menganggap Hamas sebagai jelmaan yang cukup berkesan dikalangan masyarakat Palestin. Hamas juga dianggap sebagai satu kumpulan yang membawa kekuatan kepada umat Islam Palestin dan dunia.

Sudah pasti, Muslimat PAS menyimpan niat untuk membantu perjuangan Hamas dengan membebaskan rakyat Palestin daripada terus dicengkam nafsu ganas Israel.

Tetapi bagaimana? Apakah PAS membenarkan Muslimat pergi ke bumi Gaza untuk membantu rakyat Palestin menghancurkan Israel?

Jika dibenarkan, bagaimana dengan persediaan ketenteraan, apakah pergi hanya untuk menyerah nyawa tanpa ada bekalan senjata canggih?

Al Quran mengajar umat-Nya memiliki kesatuan kerana dengannya datanglah kekuatan dan keberanian. Dengan kekuatan dan keberanian maka Yahudi akan lari dan lari ketakutan dan saat itu giliran umat Islam memburu mereka.

Doa juga merupakan senjata dan usaha membantu perjuangan rakyat Palestin.

Persoalannya, bagaimana Muslimat mahu membantu menghancurkan Israel jika antara mereka masih bermasam muka.

Walaupun bersalaman dan berpelukan namun jauh di sudut hati mereka masih tersimpan perasaan benci dan dendam.

Ini bukan tuduhan tetapi `sekilas ikan di air boleh diagak jantan ke betina'...

Atas kebencian kerakusan dan kebiadapan tentera Israel terhadap rakyat Palestin dan anggota misi kemanusiaan ke Gaza, Muktamar Muslimat sebulat suara meluluskan usul mengecam Israel.

Dewan Perdana Resort yang memuatkan 636 perwakilan bergema dengan laungan takbir, Allah hu Akbar! jahanam Yahudi! jahanam Israel! tentera Muhamad sudah datang! selamatkan Gaza!!! yang diketuai AJK DMPP, Aiman Athirah Al-Jundy.

Sejurus kemudian, exco DMPP diketuai Nuridah keluar dewan membakar bendera Israel dan sekutunya Amerika Syarikat. Inilah kelainan yang dilakukan dalam Muktamar DMPP sesuai dengan usianya 50 tahun.

Sesuai dengan kematangan usia ini perlu ada kemantapan fikiran serta penyatuan hati. Penyatuan hati untuk mengejar syahid bukan berlumba-lumba memancung kewibawaan masing-masing.

Muslimat mengidamkan syahid. Kisah perjuangan Sumayyah binti Khubbath wanita beriman pertama yang gugur syahid sering dijadikan contoh dalam perjuangan.

Sumayyah menjalani kehidupan dengan pelbagai ujian dan cubaan dari ujian kecil hingga terbesar. Kisah beliau mempengaruhi kehidupan muslimat untuk mengekori jejak langkahnya.

Namun, apakah Muslimat sudah bersedia untuk ke arah syahid? Syahid memang mudah diucap tetapi terlalu sukar untuk dilaksanakan. Serupa juga dengan mengucapkan ikhlas...tetapi hanya Allah saja yang mengetahui keikhlasan hati kita berjuang dalam Islam.

Apakah Muslimat berjuang selama ini hanya dibulatkan hati untuk Allah atau berjuang untuk kedudukan, kuasa dan nama?

Demonstrasi membantah keganasan Israel terhadap misi kemanusiaan bantuan ke Gaza dan rakyat Palestin telah dilakukan 4 Jun lalu. Memo telah diserahkan kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat oleh pimpinan Pakatan Rakyat PAS, DAP dan KeADILan.

Dalam demo tersebut, Nuridah ditemani Setiausahanya, Kartini Ahmad serta AJKnya, Wan Hasrina Wan Hassan gagah berjalan sejauh enam kilometer dari masjid kampung Baru menuju kedutaan Amerika Syarikat.

Mereka juga mampu merempuh dua sekatan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang berada 100 dan 50 meter daripada bangunan kedutaan Amerika Syarikat.

Mereka merupakan pimpinan pertama yang mendahului demonstrasi kerana pimpinan Muslimin menaiki toyota hilux dari hadapan bangunan KLCC menuju ke bangunaan kedutaan.

Inilah kehebatan Muslimat sanggup merempuh dan menghadapi apa saja halangan. Berjalan tanpa mengira penat, panas dan letih. Apa yang mereka ingat tujuan mesti sampai untuk menyatakan bantahan terhadap Israel dan sekutu Amerika Syarikat.

Mungkin ini satu permulaan bagi Muslimat di bawah kepimpinannya untuk menerajui demonstrasi bagi membuktikan; Muslimat boleh, yakin dan mampu menuju SYAHID!.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP