PAS Selangor mengalu-alukan pelantikan Azmin

>> Tuesday, June 29, 2010


SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR: PAS Selangor yakin dan percaya pelantikan Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan KeADILan Selangor dapat memantapkan jentera KeADILan negeri serta memperkasa jentera Pakatan Rakyat Selangor.

PAS Selangor melalui Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir mengalu-alukan pelantikan Azmin menggantikan jawatan yang diamanahkan sebelum ini kepada Menteri Besar, Tan Sri Dato' Seri Khalid Ibrahim.

Menurut beliau, Azmin memiliki pengalaman luas dalam politik malah telah menjalin hubungan kerja dengan PAS Selangor ketika beliau menjadi Adun Gombak Setia pada pilihan raya tahun 1999.

Katanya, ketika itu Pesuruhjaya PAS, Dato' Dr Hasan Mohd Ali menjadi Ketua Pembangkang Selangor kerana PAS menang di empat kawasan.

"PAS Selangor akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada beliau selaku Ketua KeADILan negeri," katanya.

Dengan pelantikan itu tambah beliau, PAS Selangor terus komited bagi memastikan kejayaan Pakatan Rakyat bukan sahaja mempertahankan kemenangan di Selangor malah berusaha ke arah menawan Putrajaya.

Beliau akan mengaturkan pertemuan segera dengan Azmin bagi menyelaraskan gerak kerja politik antara kedua-dua parti selain mengalukan kehadirannya dalam mesyuarat Pakatan Rakyat peringkat negeri.

Selain itu PAS Selangor yakin Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Pakatan Rakyat dapat menumpukan lebih perhatian untuk membangunkan Selangor.

"Khalid dapat memberi fokus pada agenda Merakyatkan ekonomi negeri Selangor (MES) setelah melepaskan jawatan parti kepada Azmin Ali," tegasnya.

Tambah beliau, pertemuan dengan Khalid juga akan diadakan dalam waktu terdekat bagi menyatakan sokongan dan keyakinan PAS Selangor terhadap kepimpinan beliau sebagai Ketua Pentdabir negeri.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP