Umno akan lelong isu PAS tukar nama

>> Tuesday, June 22, 2010


SAIDAH HAIRAN
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa yakin isu PAS perlu tukar nama dengan dakwaan PAS sudah menggadai prinsip serta hilang hala tuju akan dibesarkan sehingga pilihan raya umum akan datang oleh Umno kepada masyarakat Melayu seluruh negara.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tajuk akhbar `PAS perlu tukar nama' yang ditafsirkan musuh politik bahawa PAS akan menjual prinsip hanya kerana membenarkan orang bukan Islam bertanding dalam pilihan raya menggunakan lambang PAS.
Menurut beliau, dasar perjuangan Islam bukan hanya satu kaum sahaja kerana jika dikhaskan satu kaum sudah tentu orang Arab yang layak memiliki Islam.
"Uslub dakwah kita ini amat dibimbangi oleh musuh politik dan mereka akan turun ke padang untuk mengelirukan pemikiran orang Melayu," tegasnya.
Beliau berharap ahli dan pimpinan PAS mempunyai tugas untuk menentang arus itu dengan membuat penjelasan sehingga sampai ke medan pertempuran iaitu pilihan raya umum akan datang.
Berhubung dengan isu antarabangsa katanya, PAS telah dijemput oleh negara Timur Tengah melalui organisasinya yang dipengerusikan Yusof Qardawi untuk menjadi orang tengah dalam krisis yang dihadapi Yaman.
Katanya, PAS diberi peranan untuk berjumpa dengan golongan Yaman dan penghormatan itu diberikan kepada Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang untuk menjadi orang tengah.
"Ini cukup hebat dan PAS telah memainkan peranan yang cukup besar, Presiden sentiasa diajak untuk berbincang dalam hal-hal isu antarabangsa, Presiden juga dijemput ke Australia dan Morroco," katanya.
Beliau yakin pengikhtirafan itu disebabkan peranan PAS telah dilihat sebagai satu peranan efektif dan cukup dihormati oleh gerakan Islam antarabangsa.
Dalam pertemuan dengan pimpinan gerakan Islam Timur Tengah mereka ingin belajar daripada pengalaman yang diperolehi PAS yang bergerak maju dalam masyarakat yang hanya 50 peratus muslim.
Katanya, PAS merupakan parti yang berwajah Islam mempunyai ahli muslim dan badan yang menyokong pula terdiri daripada orang bukan Islam tetapi dapat bergerak dan berkembang sehingga sampai ke tahap menjadi perhatian gerakan Islam antarabangsa.
Beliau memaklumkan rakyat Palestin dan Gaza mengharapkan PAS dapat menghantar bantuan dengan membawa bendera PAS dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dan Palestin.
Dalam sesi penggulungan itu beliau mencabar Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddun Yassin berdebat mengenai isu judi dengan memberi penjelasan sebenar supaya rakyat tidak terus diheret dengan dosa.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP