Teringin beli cincin dan rantai - Siti Zailah

>> Thursday, June 24, 2010


SAIDAH HAIRAN

Menjadi wakil rakyat bukan satu tugas mudah. Ia memerlukan komitmen, kesabaran, keyakinan, keberanian serta keikhlasan dalam memikul amanah rakyat.

Siapa tidak mahu dipanggil `Yang Berhormat', siapa tidak teringin berkereta dan berumah besar. Siapa tidak mahu mendapat layanan istemewa dan menikmati kemudahan kerajaan tanpa had.

Sekali pandang apabila bergelar `YB' tentu seronok. Kemana saja pergi orang panggil `YB'. Namun, disebalik panggilan yang menyeronokan itu terselit satu tugas mencabar dan pasti memerlukan pengorbanan.

Berwajah tenang dengan keredupan matanya, Siti Zailah Mohd Yusof yang mesra dengan panggilan `Kak Lah' menitiskan air mata ketika bercerita tentang penderitaan rakyat di Parlimen Rantau Panjang, Kelantan.

Tiada siapa yang tahu ketika beliau dicalonkan sebagai Ahli Parlimen (2008), anak bongsunya, terlantar sakit buah pinggang di hospital Kubang Kerian, Kelantan.

Penuh kesabaran dan bertawakal, di waktu siang kak Lah menghabiskan masa dengan berkempen. Malam pula berada di hospital menjaga anak kesayangannya.

Kini anak yang berusia tujuh tahun itu, masih terlantar di hospital. Namun, beliau tidak menjadikan alasan `anak sakit' untuk tidak melebarkan khidmat kepada rakyat dan perjuangan Islam.

Beliau menerima amanah sebagai wakil rakyat bukan sebagai alat untuk mendapatkan kemewahan atau kekayaan. Ini terbukti apabila beliau menginfakkan 80 peratus gajinya kepada rakyat.

Baginya, infak sebanyak itu pun masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat Rantau Panjang.

Timbalan Ketua Muslimat Pusat merangkap Ketua Muslimat PAS Kelantan, menjadikan Syaidina Abu Bakar As-Sidiq yang menginfakan harta 100 peratus pada jalan Allah begitu juga Syadatina Khadijah menginfaqkan semua harta hingga saat kematiannya hanya untuk Allah sebagai idolanya.

"Amat sedikit jika dibandingkan 80 peratus yang kak Lah beri kepada rakyat. Cabaran kak Lah bagaimana untuk berkhidmat kepada rakyat sebaik mungkin. Di mana peruntukan kita dinafikan oleh kerajaan Pusat," luahnya sambil mengesat air mata.

Pertemuan selama satu jam 15 minit di Parlimen memperlihatkan kak Lah satu-satunya ahli Parlimen Muslimat yang tidak mementingkan diri dan keluarga.

Hartanya untuk rakyat dan jemaah, pernah baki gajinya tinggal RM20 namun beliau yakin dan percaya siapa membantu agama Allah, Allah akan meringankan segala kesulitannya.

Pengalaman menaiki kereta dengan tahap minyak `rezib' dengan wang RM1 dalam beg, beliau ditemani suami bertawakal pergi ke program sejauh 14 kilometer dari rumah.

"Alhamdulillah, kak Lah sampai. Apabila hendak balik hati rasa bimbang sebab tak ada duit nak isi minyak, semua ayat kak Lah baca, Alhamdulilah sampai ke rumah.

Beberapa minit ada orang nak pinjam kereta sebab isterinya hendak bersalin, kak Lah bagi dan lupa nak beritahu tiada minyak. Kak Lah risau takut mati tengah jalan.

Alhamdulillah, mereka selamat dan kereta dihantar tanpa minyak diisi. Kak Lah teringat mungkin bila kita ikhlas dalam perjuangan, Allah akan bantu kita," luahnya.

Menjadi Senator selama enam tahun dan ahli Parlimen tiga tahun, namun tiada sofa atau perabut di rumah berganti. Beliau jarang sekali membeli pakaian kecuali hari raya.

Sambil menitis air mata, beliau meluahkan pernah terlintas untuk membeli sebentuk cincin dan seutas rantai. Bagaimana pun, niat di hati dibatalkan apabila teringat keadaan rumah rakyatnya yang bocor, anak-anak rakyatnya tidak berpakaian baru, ada yang tidak cukup makan dan hidup serba kedaifan.

"Teringat semua, kak Lah tak jadi beli. Semua wang itu kak Lah fokus untuk rakyat. Memang orang perempuan perlu perhiasan, tetapi keperluan rakyat lebih utama," sekali lagi air matanya menitis.

Cabaran menjadi ahli Parlimen di Rantau Panjang bukan satu perkara mudah tambahan mempunyai tiga DUN yang luas. Penduduk 70 peratus terdiri daripada golongan petani dan penoreh getah yang miskin.

Selain menghadapi banjir beliau berhadapan dengan keselamatan sempadan yang mungkin wakil rakyat lelaki jarang berhadapan dengan keadaan itu.

"Musim tengkujuh sangat mencabar untuk kak Lah. Tahun 2009 lima kali berdepan dengan banjir tanpa peruntukan. Sekarang kak Lah sudah tempah plastik untuk bungkus barang-barang mangsa banjir. Itu pun tidak cukup RM3,000. Tahun lepas bantuan beras dan sardin hampir RM20,000, katanya.

Ketika banjir beliau lebih fokus kepada mangsa yang tidak pindah ke pusat pemindah banjir. Bantuan segera dihulurkan kepada mangsa yang terkepung dengan limpahan air.

Hasil duit sendiri dan sumbangan sahabat, beliau membeli sebuah bot khas untuk berdepan dengan banjir serta van jenazah bagi kemudahan rakyat di Parlimennya.

Dalam keterbatasan wang dan peruntukan, setiap tahun beliau tetap memberi sumbangan uniform percuma kepada 15 sekolah Tahfiz di kawasannya.

Ibu 11 orang anak itu berusaha menjalankan tugas dengan baik supaya tidak difitnah. Justeru, beliau berharap semua wakil rakyat dan bakal calon dapat memahami tugas sebenar wakil rakyat.

Katanya, wakil rakyat bukan sekadar berucap dalam Parlimen, tidak cukup menziarahi jenazah, orang sakit, orang susah tetapi lebih penting menguasai hati rakyat sehingga penampilan wakil rakyat itu disenangi seluruh rakyat.

Gelaran isteri dan ibu tidak menghalang beliau untuk mendekati golongan pemuda. Beliau kerap dijemput merasmikan pertandingan bola sepak dan futsal.

Dalam kesempatan itu, beliau menggunakan kebijaksanaan mengingatkan para belia supaya menutup aurat dan rajin ke masjid. Keakraban itu menyebabkan golongan muda amat rapat dengan beliau.

Kenderaan Toyota Hilux yang dipandu sendiri berulang dari Kuala Lumpur ke Rantau Panjang, diisi dengan bola dan sedikit keperluan rakyat.

Katanya, jika budak-budak muda hendak bola atau jaring (takraw atau badminton) boleh bagi terus. Kemesraan beliau dengan rakyat yang lahir daripada hati yang ikhlas menjadikan beliau amat rindu jika lama tidak berjumpa mereka.

Dalam kesibukan tugas, beliau tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai seorang anak dan cucu. Sehari sekurang-kurangnya lima minit mesti menjenguk ibu bapa di kampung.

Manakala setiap hujung minggu selepas solat isyak, beliau bersama anak-anak dan suami akan makan dan tidur di rumah ibu bapanya. Selepas solat subuh beliau akan berjumpa rakyat. Itulah rutin perjalanan kehidupan wakil rakyat Muslimat, Siti Zailah Mohd Yusof.

Sudah terbukti Muslimat mampu memikul tugas dan lebih berjaya dibanding lelaki jika diberi ruang dan peluang secukupnya. Justeru, Muslimat harus diletakkan di tempat sewajarnya, bagaimana Rasulullah mengikhtiraf pengorbanan Syadatina Khadijah dan Aisyah.

Muslimat bukan hanya menjadi alat untuk berkempen dalam pilihan raya. Apabila berkempen mencari muslimat tetapi hendak meletakkan calon, Muslimat diletakkan di pedalaman dan sukar menjamin kemenangan.

Siapa kata Muslimat tidak mampu menjadi pemimpin? Siapa sangka `Tangan yang menghayun buaian, akan mengggoncangkan dunia'...

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP