Warna rasmi Hamas menyerikan Muktamar DMPP

>> Tuesday, June 22, 2010

SAIDAH HAIRAN

PENGKALAN CHEPA: Warna hijau muda dan putih menghiasi Muktamar Dewan Muslimat PAS kali ke50 ditambah dengan ketrampilan 636 perwakilan yang mengenakan seragam baju hijau muda dan tudung putih.
Hijau muda dan putih yang menghiasi dewan Muktamar itu sesuai dengan tema `Muslimat Penggerak Kemenangan Penyelamat Ummah' yang perlu mendepani pelbagai isu bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Kesungguhan Muslimat mendepani cabaran itu diterjemahkan ketika mengalunkan lagu Negaraku dan lagu rasmi PAS dengan penuh semangat.

Antara tetamu kehormat yang hadir isteri Mursyidul Am PAS, Datin Bentara Setia Sabariah Tuan Ishak; isteri Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datin Zabidah Abd Rahman; exco KeADILan Pusat, Rozaini Mohd Rosli serta mantan calon PAS negeri Johor, Kamuta Rahman.

Manakala pemerhati Muktamar AJK PAS Pusat, Ustaz Ghani Abd Rahman; Ustaz Idris Ahmad dan Anuar Tahir.

Tayangan multimedia saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat yang diterajui daripada awal Sharifah Rahmah; Salmah Sheikh Hussin; Sakinah Junid; Wan Asma' Wan Abdul Kadir; Jamilah Ibrahim; Fatimah @Zainah Ibrahim; Khaltom Osman; Azizah Khatib Mat dan Nuridah Mohd Salleh.
Selain itu tayangan multimedia turut mempaparkan aktiviti Muslimat seluruh negara.

Acara potong pulut dilakukan sebagai simbolik Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat selama 50 tahun.

Ustazah Nuridah memotong pulut itu diiringi TImbalannya, Siti Zailah Mohd Yusof; Naib, Mumtaz Mohd Nawi; Setiausaha, Kartini Ahmad; Bendahari, Wan Ubaidah Wan Omar dan Ketua Penerangan, Salbiah Abd Wahab.
Perwakilan turut mendapat bunga pulut berwarna putih dan hijau serta payung berwarna hijau dengan tulisan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Perwakilan dan pemerhati turut dihidangkan dengan tayangan montaj sempena pelancaran institusi Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA).

Kutipan dana turut dilancarkan oleh Nuridah diiringi Pengarah APSA, Wan Hasrina Wan Hassan dengan
iringan lagu `Intifadah' oleh Rabbani.

Muktamar Muslimat PAS turut menganugerahkan Tokoh Muslimat kepada Allahyarham Ustazah Khaltom Osman yang meninggal dunia pada usia 61 tahun di hospital Universiti Sains Malaysia kerana serangan `massive stroke'.

Suasana dewan menjadi hibu dan sayu apabila montaj keterlibatan dan aktiviti Allahyarham Ustazah Khaltom ditayangkan dengan iringan lagu `Kau Sahabat Kau Teman' dendangan kumpulan nasyid Hijaz.

Allahyarhamah antara aktivis PAS yang paling cergas dan sentiasa istiqamah dengan perjuangan.

Allahyarham pernah menjadi Ketua Muslimat PAS negeri Kelantan, Kawasan Tumpat dan Pasir Puteh.

Allahyarham turut diikhtiraf sebagai Ahli Dewan Negara yang membawa gelaran Senator pada tahun 1991 hingga 1997.

Di saat akhir Allahyarham diamanahkan sebagai Ketua Halaqat Dun Selinsing. Walaupun jasadnya bersemadi namun istiqamah dalam perjuangan diteruskan oleh anak-anak didik Allahyarham.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP