Ustaz Hasan Shukri tetap dalam kenangan

>> Wednesday, June 30, 2010




Oleh: SAIDAH HAIRAN
Tanggal 14 Jun (Isnin) ketika penulis bersama suami berada di pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan; untuk meninjau `ole-ole' yang boleh di bawa balik; tiba-tiba terhenti dan bergegas turun untuk balik segera ke Kuala Lumpur.

Sistem pesanan rengkas (SMS) daripada Setiausaha Muslimat PAS Selangor mengatakan, ustaz Hasan Shukri meninggal dunia amat mengejutkan.

Penulis terus menghubungi Pengarang Berita Harakah, Tarmidzi Mat Jam (TMJ) bagi mengesahkan berita tersebut.

Penulis bergegas balik ke Kuala Lumpur dan terlupa untuk membeli barang yang sudah tersenarai di fikiran selama berada di Muktamar, Putik.
Sudah menjadi adat dunia, jasa dan kebaikan seseorang itu akan dikenang dan kita akan berasa kehilangannya setelah jasad seseorang itu terkubur. Namun, yang pergi tetap pergi dan yang tinggal perlu meneruskan perjuangan bagi menegakkan daulah Islamiah di bumi tercinta ini.
Peribahasa mengatakan; Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Ada orang mengatakan, apa ada pada nama namun bagi penulis nama adalah segala-galanya. Apabila manusia itu sudah tiada di dunia, namanya akan disebut-sebut.

Nama Almarhum cukup sinonim dengan Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar. Almarhum bukan saja dianggap sebagai arkitek Markas tetapi penjaga dan pemantau kebersihan markas. Inilah kehebatan dan keistemewaan bekas Timbalan, Naib, Setiausaha dan Ketua Pemuda PAS Pusat.
Walaupun pengurusan dan pentadbiran Pejabat Agung yang dulu beroperasi di Markas telah berpindah ke Jalan Raja Laut, namun tugas dan keperihatinan Almarhum terhadap Markas tidak pernah diabaikan.

Kini, setelah ketiadaannya, suasana Markas yang kini sedang dalam pembinaan Kolej Universiti Zulkifli Mohamad (KUIZM) menjadi sepi dan sayu, seolah-olah tiada berpenghuni.

Setiap kali lalu di hadapan Markas, penulis akan menoleh dan rasa rindu dengan kelibat susuk tubuh yang kurus berbaju jenama `pagoda' dengan memegang penyapu yang kini tidak kelihatan lagi.

Pemimpin datang dan pergi, namun PAS tetap gagah berdiri dan terus disanjungi. Penampilan pemimpin yang bersahaja, tidak mementingkan protokol, mudah mesra menyebabkan ahli parti dan masyarakat amat menyenangi.

Itulah ustaz Hasan Shukri yang menjadi ahli PAS ke-12,016. Seawal usia 14 tahun beliau sudah mengenali PAS. Almarhum ustaz Osman Abdullah orang yang bertanggungjawab mengenalkan Islam secara menyeluruh kepada Hasan. Tahun 1953 beliau mula menghadiri Kongres PAS di Madrasah Al-Ulum Tarbiyah Bagan Datuk Perak.

Ketika pilihan raya tahun 1955, beliau bertugas membawa alat-alat pembesar suara dengan menunggang basikal. Selesai pilihan raya beliau bercadang menuntut ilmu di Singapura tetapi memandangkan tidak mempunyai wang yang cukup, beliau hanya turun ke Benut, Johor.

Di Benut, Johor beliau banyak berdamping dengan Al-Marhum Yang Dipertua PAS, Almarhum Yusuf Hakim banyak menubuhkan ranting (cawangan) PAS di Telok Rumania.

Ketika itu, beliau masih belum menjadi ahli PAS. Tahun 1956 beliau ke Perak belajar di Maahad Yahyawaniah, Padang Terap, Perak. Dalam usia 18 tahun (1957) beliau baru menjadi ahli PAS di cawangan Padang Rengas, Perak.

Selepas itu beliau terus dilantik Naib Setiausaha PAS Cawangan Padang Rengas sehingga Ketua Dewan Pemuda PAS Perak. Mulai tahun 1957 hingga 1959 beliau banyak membantu PAS Perak dalam menghadapi pilihan raya.

Hassan ditugaskan sebagai Setiausaha Gerakan Pilihan raya Sungai Siput, Ulu Perak dan Larut.

Awal tahun 64 beliau menyambung pelajaran di Baghdad bersama Dato' Daud Iraqi, Ustaz Hashim Jasim dan bekas Presiden Indonesia, Ahmad Rahman @Gusdur.

Ketika di Baghdad beliau menubuhkan Persatuan Pemuda Melayu Iraq dan telah didaftarkan. Beliau merupakan Setiausaha yang pertama. Persatuan itu dapat menghubungkan pelajar Melayu yang turut dianggotai oleh pelajar Selatan Thailand dan Singapura.

Walaupun mempunyai ijazah dari Universiti Baghdad tahun 68, namun beliau tidak menggunakan peluang itu untuk bekerja dengan kerajaan. Sebaliknya beliau terus menyumbangkan tenaga dan bakti pada PAS Sabak Bernam, Selangor.

Pada tahun 1969 beliau diminta oleh pimpinan PAS Selangor, Tuan Guru Haji Salleh untuk bertanding dalam pilihan raya. Beliau bertanding di Parlimen Sabak Bernam lawan Dato' Mustapha Jabar dan DUN Sungai Besar.

Selepas Almarhum kalah dalam pilihan raya, Almarhum terus ke Mekah pada tahun 1970 melalui jalan darat.

Dari kampung bertolak ke Pulau Pinang dan terus naik kapal laut ke Madras. Naik keretapi ke New Delhi, kereta kuda, teksi, bas sehingga sampai ke Mekah selama enam bulan tiga hari.

Ketika Muktamar tahun 71, beliau terus dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS dan ini merupakan jawatan paling lama dipegang. Selepas itu beliau dipilih menjadi Naib Presiden dan Timbalan Presiden PAS.

Jawatan yang pernah dipegang selama beliau bergiat dalam PAS antaranya, Setiausaha Kerja; Ketua Penerangan dan kini AJK Majlis Syura' PAS.

Selama bergiat dalam PAS beliau tidak dapat melupakan kenangan pahit ketika dikejar dengan tentera British tahun 57 di Jenalik Hulu, Perak. Ketika itu beliau bersama Ustaz Samad Nor. Dengan menaiki kereta berdaftar P 1213 beliau sempat berselindung di surau kampung Jenalik Hilir dan bermalam di situ.

Ketika Muktamar di Putik, semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan. Inilah tugas akhir sebelum Almarhum meninggalkan dunia.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP