Ulama muda propaganda Umno yang menguntungkan Islam

>> Monday, June 28, 2010

Oleh Adnan Ibrahim

Penyerahan borang keahlian ulama muda berlaku di hadapan Galeri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu, rupanya majlis propaganda pembohongan Umno terhadap golongan ulama muda serta rakyat Malaysia terutama orang Melayu.

Program dirancang rapi sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno itu, kononnya seramai 40 orang ulama muda menyertai parti itu sebaliknya ia merupakan majlis perangkap terhadap ulama muda yang baru mengenali sepak terajang dunia politik.

Dan Umnolah parti yang bertanggungjawab mengejar kepada ulama muda terbabit tentang politik kotor dan jahat.

Cukup malang orang Melayu mempunyai kepimpinan Umno daripada orang Islam yang buruk perangai dan tingkah laku mengajar dan mendidik ulama muda dengan politik kotor sedangkan bangsa lain terus maju memacu anak muda mereka dengan gaya politik bertamadun, berprinsip serta bermaruah dalam usaha membela bangsa sendiri dan rakyat Malaysia.

Oleh kerana itu, tidak hairan politik orang Cina dan India sentiasa menguntungkan bangsa mereka walaupun mereka manoriti berbanding Melayu.

Dilaporkan empat ulama muda yang turut berada dalam majlis pengisytiharan menyertai Umno itu tidak mengetahui program tersebut dan mendedahkan mereka diperangkap dan ditipu oleh pemimpin licik Umno.

Mereka termasuk dalam 16 orang yang hadir dalam program itu telah diberitahu pada awalnya menghadiri perjumpaan bekas pelajar Jordan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Empat pelajar terbabit iaitu Ustaz Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, dari Sungai Buloh, Mohd Fakhruzzaman, 37, (Shah Alam), Mohd Akram An-Nazilin, 27, (Putrajaya) dan Mohd Jalaluddin Tahir, 26 (Sungai Petani).

Turut dilaporkan Ustaz Wahab Abdullah yang juga berada dalam majlis sama merupakan seorang tenaga pengajar sekolah di Jejawi, tidak menyedari beliau berada dalam majlis yang dibuat secara licik oleh Umno itu.

Tujuan beliau menemui Najib untuk membersihkan nama baik Persatuan Al-Islah Perlis yang diwakili beliau yang turut dikaitkan dengan isu terkini iaitu Jemaah Islamiah (JI) dan keganasan.

Ini bermakna dakwaan Umno bahawa 40 orang ulama muda menyertai Umno itu hanya merupakan borang kosong. Kalau Umno berani dedahkan nama mereka yang menyertai Umno.

Bagaimanapun apa yang pasti pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fadlan Mohd. Othman, 35 dan dua anak kepada bekas Mufti Perlis, Datuk Mat Jahaya Hussin iaitu Fathul Bari, 29 dan Mohd. Khairi, mengesahkan laporan mereka menyertai Umno.

Berkata Fathul Bari, yang juga dikenali Abu Islam, langkah mereka menyertai Umno berikutan janji parti itu untuk memastikan pihak ilmuwan dapat meneruskan kerja dakwah mereka.

“Tawaran seperti ini memang dinantikan oleh sesiapa sahaja. Sebagai seorang penuntut ilmu dan pemberi ilmu memang menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut dikaitkan dengan wahabi yang menentang kuat ajaran kurafat. Mungkin kerja dakwah pertama yang harus dilakukan Abu Islam setelah menyertai Umno ialah menghapuskan kurafat dan kepercayaan kepada angka 40 yang dianggap oleh Umno terlalu berkat.

Ulama muda sertai Umno hanya `dua tiga kerat' dan mereka yang hadir dalam majlis itu juga hanya 16 orang tetapi kenapa Umno suka menggunakan angka 40?

Para ulama muda ini tidak menyertai PAS tetapi keilmuan yang disampaikan kepada orang ramai di masjid, surau dan rumah individu boleh menarik orang ramai kepada Islam. Cara penyampaian yang bebas mendidik orang ramai tentang akhlak dan politik Islam lebih banyak memberi keuntungan kepada PAS.

Abu Islam dan kawan beliau bukan orang politik. Mereka lebih gemar menyampaikan ilmu kepada masyarakat sebagai kerja dakwahnya.

Beliau dan Fadlan dikatakan mendapat tekanan dan disoal siasat pihak berkuasa sehingga enam jam di Bukit Aman. Hanya kerana tuduhan berfahaman wahabi, Umno mengambil kesempatan membesarkan isu JI yang sudah mati, lalu diugut keatas mereka dengan dilabel sebagai penganas.

Mungkin pendapat dan tindakan yang diambil Abu Islam dan kawannya menyertai Umno cukup mengecewakan orang PAS. Namun begitu jika diambil iktibar daripada sirah perkembangan Islam di Mekah selepas Perjanjian Hudaibiyah, maka mereka boleh mengembangkan Islam dalam Umno.

Bagaimana hancurnya perasaan anak muda Mekah yang baru masuk Islam dan ikut lari ke Madinah tanpa kebenaran keluarga diminta pulang ke Mekah kerana arahan yang turut terkandung dalam perjanjian itu.

Sebaliknya penghantaran balik mereka ke Mekah tidak menggugat Islam di Madinah. Malah Islam turut berkembang di Mekah hasil daripada dakwah mereka.

Kalau orang muda Qhuraisy pulang ke halaman mereka boleh mendakwah orang musyirkin di Mekah, kenapa ulama muda tidak boleh berdakwah orang Islam dalam Umno?

Ulama muda bukan orang politik dan kemasukan mereka tidak menjadi ancaman kepada orang politik dalam Umno. Dengan ini kerja dakwah mereka menjadi lebih mudah kerana bukan persaingan jawatan, pangkat, kedudukan dan harta sebagaimana sering menjadi rebutan dalaman Umno.

Sekiranya Fathul Bari tegas dengan sikapnya untuk berdakwah maka penyertaan beliau dalam Umno tidak sama dengan kemasukan Datuk Nakhae Ahmad daripada pemimpin PAS sertai Umno. Nakhae ketika itu berjawatan Naib Presiden PAS.

Ia juga berbeza dengan kemasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri, kedalam Umno pada 1982. Perebutan jawatan dalaman parti itu menyebabkan perpecahan pada 1987 dimana Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaliegh Hamzah pernah mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad melaksanakan politik pecah belah dengan membawa masuk Anwar.

Lagi pun Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata kalau beribu ulama menyertai Umno pun PAS tidak takut, memandangkan mereka yang menyerahkan borang itu tidak diketahui langsung dari mana kedudukan mereka di tengah masyarakat.

Memang mereka bukan orang berpengaruh terutama dalam politik. Jadi ia bukan perkara yang merugikan PAS malah ia bertambah menguntungkan Islam.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP