1.3 juta untuk PPAS

>> Wednesday, September 28, 2011







RM1.3 juta menaik taraf Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor

SHAH ALAM: Penyerahan cek sebanyak RM1.3 juta daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad kepada Penasihat Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Dr Halimah Ali merupakan kemuncak sambutan Aidil Fitri Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Cek tersebut disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor, Raja Idris Raja Kamarudin yang begitu prihatin mahu menjadikan rakyat Selangor berilmu.

Dr Halimah yang juga exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan berkata, peruntukkan sebanyak RM1.3 juta itu untuk menaik taraf lapan bangunan perpustakaan di seluruh Selangor.

Katanya, RM100,000 untuk koleksi buku dan selainnya untuk menaik taraf kemudahan awam kerana perpustakaan merupakan kemudahan awam terpenting untuk pembangunan rakyat.

"Kita hendak bangunan perpustakaan di daerah yang sudah usang itu dibaiki semula dan tempat yang tiada perpustakaan perlu dibina," katanya.

Pengerusi PPAS, Mastura Mohamad pula bersyukur dengan komitmen kakitangan PPAS yang berkerjasama untuk menaik taraf perpustakaan di Shah Alam dan seluruh Selangor.

Katanya, PPAS yang canggih merupakan hasrat Tuanku Sultan Selangor yang menekankan supaya rakyat Baginda berilmu.

Beliau berkata, ini kerana hanya dengan ilmu boleh menjadikan rakyat maju spritul kuat seterusnya negeri Selangor bertambah makmur.

"Selama 40 tahun perpustakaan mengadakan jamuan Aidil Fitri, baru tahun ini jamuan ini dibuka kepada orang ramai," katanya.

Pelbagai kaum hadir ke jamuan Aidil Fitri PPAS menunjukkan simbol perpaduan rakyat di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Turut hadir Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmod; Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi; AJK DMPP, Dr Asiah Ali; Timbalan Setiausaha PAS Pusat, Ahmad Shabky dan Pengerusi Paksi, Dinsman.

Pengunjung dihidangkan dengan pelbagai makanan antaranya, kambing panggang; nasi arab; satay; murtabak; nasi dagang; cendol; tapai.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP