>> Sunday, September 25, 2011


RM1.1 bilion bukti Pakatan Rakyat serius jaga kebajikan rakyat

SAIDAH HAIRAN

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor perlu membuat tawaran terkini kepada rakyatnya terutama mereka yang berada di atas landasan `atas pagar'. Golongan ini amat penting dikuasai bagi menjamin kemenangan lebih besar dalam Pilihan Raya Umum yang dijangka tahun ini.

Dalam tempoh tiga tahun lima bulan memerintah, Pakatan Rakyat berjaya menambah simpanan tunai kerajaan negeri sebanyak RM1.1 bilion. Kejayaan itu merupakan rekod kewangan paling baik dalam tempoh 28 tahun.

Walaupun pimpinan Pakatan Rakyat terus diserang, difitnah dengan pelbagai tuduhan namun komitmen pimpinan PAS, DAP dan KeADILan terus berjuang membela kebajikan rakyat.

Kejayaan itu membuktikan bahawa pimpinan Pakatan Rakyat menjalankan tanggungjawab dengan cekap, telus dan amanah. Sehingga mereka berjaya memberi pulangan yang baik kepada rakyat.

Dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) terus dilaksanakan dan bukan sekadar gimik politik.

Tawaran terkini kerajaan Selangor di bawah exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan, Dr Halimah Ali cuba menyelesaikan masalah siswazah menganggur.

Kerajaan negeri mesasarkan 1,500 siswazah yang menganggur untuk diberi kemahiran dalam jangka masa pendek iaitu seminggu, dua minggu dan empat minggu.

Menurut Dr Halimah, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan anak syarikat (GST) iaitu Kumpulan Perangsang Berhad untuk memberi kursus di bidang kemahiran tinggi kepada 1,500 siswazah.

"Mungkin siswazah yang mahu menjadi usahawan tetapi mereka tidak mendapat gambaran sebenar, bagaimana hendak menjadi usahawan berjaya," katanya.

Justeru, kerajaan negeri akan memberi latihan dengan menyediakan mentor untuk mereka bukan sahaja mereka boleh mencari modal tetapi tahu menguruskan perniagaan hingga berjaya.

Dalam politik segalanya berkemungkinan. Politik merupakan permainan nombor atau angka. Jika BN menang walaupun dengan majoriti satu angka itu sudah boleh menguasai negeri.

Hati rakyat perlu dipujuk dan ditawan. Sokongan mereka amat diperlukan. Dengan kerakusan dan kekejaman BN khususnya Umno memfitnah pimpinan Pakatan Rakyat, sebenarnya ia memberi `kredit' kepada Pakatan Rakyat.

Rakyat Selangor semakin bijak menilai mana yang baik dan buruk. Kebanyakan mereka juga sudah celek maklumat. Perubahan itu ketara terutama mereka yang tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Sokongan kaum Cina dilihat semakin meningkat begitu juga dengan kaum India. Manakala Melayu terutama warga emas kebanyakan masih taksub dengan BN.

Pakatan Rakyat mesti bekerja keras mendekati masyarakat terutama golongan `atas pagar'. Pimpinan mesti bersedia menemui mereka pada bila-bila masa. Sudah terlewat jika pimpinan hanya turun menemui mereka pada hari berkempen.

Satu keunikan Pakatan Rakyat apabila dapat membuat program `Jom Shopping' bersama warga emas pelbagai bangsa. Usaha Pakatan Rakyat untuk mengubah fikiran warga emas supaya berminat dengan Pakatan Rakyat boleh dibanggakan. Mereka diberi kupon pembelian berjumlah RM100 setiap seorang dan dibawa berbelanja di pasaraya setiap DUN seluruh Selangor.

Kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil insiatif itu ekoran rasa tidak puashati warga emas dengan Skim Mesra Usia Emas (SMUE). SMUE yang berjumlah RM2,500 hanya diberikan kepada waris setelah mereka meninggal dunia.

Sementara itu, pelancaran agenda Selangorku, Pelan dan Visi untuk tiga tahun menunjukkan komitmen serius kerajaan negeri dalam memacu Selangor sebagai negeri idaman dan contoh di Malaysia.

Pelancaran ini merupakan pelan tindakan dan visi dari tahun 2011 hingga 2013. Rancangan itu mengutamakan pilihan raya tempatan, perumahan, keselamatan, gaji minima dan infrastruktur.

Bagi membela golongan berpendapatan rendah GLC akan melaksanakan gaji minima RM1,500 berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Amat malang jika rakyat Selangor tidak menyedari nikmat dan manfaat berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Manakala Pakatan Rakyat pula apakah rela mengembalikan kekayaan Selangor kepada pentadbiran yang korup?

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat mesti memandang serius permukiman yang disertai 240 wakil rakyat BN di Kuala Selangor selama tiga hari dalam usaha untuk merampas negeri `lubuk emas' itu.

Seramai 150 orang Adun melibatkan 45 daripada 56 kawasan DUN Selangor. Mereka mesasarakan 891 peti undi untuk dirampas semula pada Pilihan Raya Umum yang diramalkan akhir tahun ini.

Adun angkat turut dilaksanakan di semua peti undi bagi mendapatkan laporan benar sokongan rakyat terhadap mereka selama ini.

Cukuplah kekayaan Selangor dirompok oleh pimpinan BN sebelum ini.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP