>> Monday, September 12, 2011
Tarik tauliah - siapa tangan di belakang Jais?
SAIDAH HAIRAN
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diharap dapat membaiki segera kelemahan berhubung pemberian tauliah bagi menggelak sebarang pandangan serong sebagai institusi agama yang tidak dihormati lagi oleh rakyat.
Tindakan menarik balik tauliah yang dilakukan oleh Jais terhadap penceramah atau pendakwah bebas di Selangor mengundang rasa tidak puashati dan pandangan negatif terhadap institusi agama itu.
Sehubungan itu, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasharuddin Hasan menyifatkan tauliah sudah menjadi igauan dan hambatan yang menyulitkan pendakwah dan ilmuan untuk menyampaikan Islam.
Beliau berkata, umat Islam sekarang telah terperangkap dengan jenayah sosial sehingga rosak akhlak, pemikiran seterusnya akidah.
"Apakah pihak berkuasa agama khususnya Jais tidak peka perkara ini, jika tauliah menjadi isu, kenapa tidak ditauliahkan mereka yang boleh menyampaikan Islam dengan baik dan berkesan," tegasnya.
Beliau terkilan jika Jais mengambil tindakan undang-undang kepada penceramah hanya semata-mata berceramah tanpa tauliah.
Seharusnya tambah beliau, pihak Jais membantu, membiayai, menyokong dan memudahkan urusan murni yang dilakukan oleh penceramah atau pendakwah bukan mengambil tindakan terhadap mereka.
"Pihak berkuasa agama mesti mempunyai suatu mekanisme yang berkesan bagaimana menguruskan tauliah dengan baik," tegas beliau.
Sementara itu, AJK PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang pernah digantung tauliahnya mengingatkan pihak Jais supaya jangan bertindak sewenang-wenangnya untuk menggantung tauliah penceramah.
Ini kerana katanya, penceramah yang mendapat tauliah daripada Jais amat mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak pernah melanggar syarat tersebut.
Justeru tegas beliau, Jais tidak wajar bertindak menggantung tauliah yang telah diberikan kepada penceramah atau pendakwah bebas.
Dalam hal ini katanya, Jais tidak konsisten sebab perkara menarik balik tauliah itu bukan baru tetapi sering dilakukan tanpa sebarang alasan.
"Jais seolah-olah main tarik tali dalam isu ini, apa sebenarnya yang berlaku, kenapa jadi begini dan siapa tangan di belakang Jais sebenarnya,"? soal beliau.
0 comments:
Post a Comment