>> Tuesday, September 20, 2011


Pendekatan `cool' golongan muda, BN sudah terlambat

Oleh: SAIDAH HAIRAN

KLANG: Pimpinan Pakatan Rakyat Selangor yakin strategi yang bakal dilakukan BN untuk merampas Selangor hanya retorik serupa dilakukan oleh mana-mana parti yang lemah untuk menarik sokongan rakyat.

Pendekatan `cool' kepada golongan muda serta gesaan Presiden BN, Dato' Seri Najib Tun Razak supaya semua parti komponennya menumpukan sokongan golongan muda hanya usaha untuk memesongkan perspektif rakyat terhadap semua perkara buruk yang dilakukan BN.

Natijahnya, BN merupakan parti yang sudah lemah dan terpaksa melakukan pelbagai retorik untuk menarik sokongan undi rakyat.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, PAS tidak gentar dengan apa sahaja pengumumn yang dibuat oleh Umno-BN kerana rakyat Selangor yakin dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat.

Katanya, walaupun ada dakwaan mengatakan lebih 5000 masyarakat India menyokong BN namun kesahihan perkara itu boleh dipertikaikan kerana ia mungkin hanya gimik sahaja.

"Kita tahu PRU sudah hampir jadi macam-macam perkara timbul. Kita tidak kisah BN hendak buat apa sebab PAS tidak pernah gentar. Saya yakin rakyat bukan hidup di zaman 50 tahun lalu tapi mereka sudah celik maklumat," tegasnya.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan, Dr Halimah Ali menegaskan, pimpinan Pakatan Rakyat benar-benar membantu rakyat bukan hanya cakap orang politik sahaja.

Katanya, rakyat Selangor semakin celik dan merasai sendiri mereka mendapat bantuan sehingga boleh mengubah kualiti kehidupan mereka.

"Kita telah melaksanakan perancangan yang berpaksikan kebajikan rakyat. Kita mengambil kira seluruh golongan rakyat. Pertamanya lahir sahaja bayi kita sediakan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas)," jelasnya.

Begitu juga kata beliau dengan skim usia emas, walaupun pada awalnya rakyat meragui tetapi setelah tiga tahun lebih Pakatan Rakyat memerintah, mereka terus yakin dengan kerajaan Pakatan Rakyat.
Sementara itu, exco kanan (DAP), Teresa Kok yakin sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat semakin bertambah daripada semua golongan.

Jika Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Dato' Noh Omar mahu mengubah manifesto baru untuk merampas Selangor katanya, Pakatan Rakyat mahu melihat apa kandungan manifesto tersebut.

Ini kerana kerajaan Pakatan Rakyat sudah melaksanakan dasar yang telus dan berbentuk kebajikan untuk rakyat dengan berkongsi sumber ekonomi kepada rakyat.

"Kita mahu melihat dan menunggu apa tawaran BN kepada rakyat Selangor dalam PRU akan datang," tegasnya ketika ditemui di majlis Hari Raya DUN Selat Kelang.

Sementara itu, Adun Seri Muda, Suhaimi Shafie yakin apa yang dilakukan BN tidak lebih sebagai usaha untuk memesongkan perpektif rakyat terhadap perbuatan buruk yang dilakukan oleh Umno-BN selama ini.

Umpamanya kata beliau dengan membuat kejutan seperti mansuhkan ISA dan trend seperti itu akan berterusan sehingga pilihan raya umum nanti.

Beliau yakin gesaan Najib supaya jentera BN menarik golongan muda dengan pendekatan `cool' sudah terlambat berbanding dengan pendekatan santai yang digunakan PKR selama ini.

Katanya, Umno tidak dilihat begitu bahkan di kalangan pimpinan Pemuda merupakan golongan yang sukar didekati, jarak pemisah begitu nyata sehingga tidak disenangi oleh anak-anak muda.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood yakin sokongan masyarakat India terhadap Pakatan Rakyat masih kekal terutama di kawasannya walaupun MIC cuba mengaktifkan tetapi tidak mendapat sambutan.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak boleh dinafikan dan jentera PAS dan Pakatan Rakyat perlu bekerja kuat untuk mengekalkan kemenangan dalam PRU nanti.

"Saya yakin tidak ramai sebenarnya masyarakat India yang menyokong BN, sebab kita tahu apa yang berlaku sama ada betul atau sebaliknya," kata beliau.

Beliau mengingatkan seluruh jentera PAS supaya jangan lalai dengan dakwaan mengatakan 7000 masyarakat India menyokong BN tetapi ia merupakan satu peringatan untuk terus berkerja kuat.

Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus tidak melihat isi kandungan yang jelas dalam ucapan Najib untuk menatijahkan perancangan mereka bagi merampas Selangor.

Walaupun kata beliau, mereka mengatakan akan berusaha bersungguh-sungguh atas kesedaran mereka, tetapi tiada satu perubahan yang dibawa di Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat selama ini katanya banyak memberi manfaat kepada rakyat hanya tidak diwar-warkan oleh media massa.

Begitu juga dengan kesedaran masyarakat India khususnya di Pulau Carey walaupun dihasut oleh BN namun mereka masih yakin dengan Pakatan rakyat, tegasnya.

"Apapun kita mesti berjaga-jaga sebab segala kemungkinan boleh berlaku, gerak kerja mendekati pengundi mesti diteruskan," tegasnya.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP