>> Sunday, September 18, 2011






Perpustakaan rumah kedua rakyat Selangor

SAIDAH HAIRAN

`Selangkah ke Perpustakaan, sejuta senyuman, sekali klik sejuta maklumat'. Moto baru Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) membawa anjakan paradigma bukan sahaja di kalangan kakitangan bahkan seluruh rakyat supaya mesra perpustakaan.

Bangunan PPAS baru mempunyai empat tingkat berhadapan dengan Kelab Golf Selangor di seksyen 13, Shah Alam telah beroperasi pada 22 Julai 2011 dengan kunjungan di luar dugaan. Walaupun masih belum mempunyai perkhidmatan bas, namun pengunjung bertambah dari hari ke hari terutama setiap hujung minggu Sabtu dan Ahad.

Setiap hari minggu sabtu dan ahad pengunjung mencecah sehingga 2159 orang iaitu pada hari Ahad manakala hari Sabtu melebihi seribu orang sehingga ada yang duduk di atas lantai.

Sepuluh hari pertama ketika PPAS dibuka iaitu dari 22 hingga 31 Julai pengunjung seramai 6218 orang manakala peminjam buku seramai 5304 orang dan keahlian baru 3549 orang.

Sambutan daripada rakyat Selangor itu merupakan satu kejutan buat Pengarah PPAS, Mastura Mohamad dan seluruh kakitangannya. Maka impian Mastura untuk menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua rakyat Selangor telah tercapai.

Hasil gabungan idea dan pandangan daripada Penasihat PPAS, Dr Halimah Ali serta kakitangannya, Mastura telah menjadikan perpustakaan Selangor yang dulu bersebelahan dengan bangunan Muzium Selangor, satu perubahan yang amat menarik dan memikat pengunjung.

Jika suatu ketika dahulu perpustakaan satu tempat yang amat tidak diminati oleh kanak-kanak; remaja dan golongan beliau tetapi dengan wujudnya PPAS, perpustakaan telah menarik minat golongan beliau dan remaja yang suka lepak.

Tiga eleman yang menjadi teras perubahan PPAS mesra, senyum dan `friendly'. Tiga elemen itu telah berjaya menarik minat dan memberi dorongan kepada kanak-kanak, remaja, belia serta rakyat Selangor untuk terus mengunjungi PPAS.

Setiap bangunan dan ruang amat menarik dengan hiasan sofa, susunan kerusi dan rak buku-buku yang begitu santai. Jika fikiran sebelum masuk ke PPAS berserabut akan menjadi tenang apabila melihat susunan dan corak warna di ruang buku dan meja setiap tingkat.

Ini ditambah pula dengan layanan mesra kakitangan PPAS yang sentiasa menunjukkan wajah mesra dan senyuman manis menjadikan pengunjung tidak sabar menunggu hari esok untuk datang ke perpustakaan.

Kelainan yang dilakukan PPAS dijadikan sebagai pusat sumber lebih berkonsepkan riadah dengan menyediakan gym, internet berkelajuan tinggi, pawagam, teater, pelbagai buku disediakan, surau di setiap tingkat serta cafe yang menjual makanan murah dan menyelerakan.

PPAS juga menyediakan dewan di tingkat tiga yang boleh menampung lebih 200 orang dengan kadar sewa yang murah. Ruang gym untuk pengunjung perempuan dan lelaki amat menarik kerana sebelum ini tidak ada perpustakaan yang menyediakan gym.

Begitu juga dengan pawagam dan teater serta surau di setiap tingkat. Suasana PPAS amat tenang dan selesa untuk perbincangan, mengulangkaji pelajaran, membaca buku dan sebagainya. Keadaan kerusi, sofa, rak buku-buku serta hiasan menjadikan pengunjung sukar untuk meninggalkan PPAS.

Ruang kanak-kanak juga amat menarik. Ibu bapa tidak gusar untuk meninggalkan anak-anak di PPAS kerana kakitangan PPAS begitu mesra melayan karenah kanak-kanak. Pokok besar yang berada di hadapan ruang itu menjadikan kanak-kanak begitu ceria dan dijadikan tempat untuk mereka berguling-guling.

Bagaimanapun menurut Mastura, kakitangan tetap menjaga kanak-kanak supaya tidak terlalu bising sehingga hilang identiti perpustakaan iaitu tempat yang senyap.

Tambah Mastura, perkhidmatan XD teater dan 6D teater juga disediakan di PPAS, yang biasanya ada di pawagam turut menarik minta kanak-kanak dan remaja untuk datang ke perpustakaan. Inilah kelebihan dan keistemewaan PPAS yang mempunyai kelainan daripada perpustakaan di seluruh negara.

Katanya jika kanak-kanak golongan remaja dan belia suka datang ke perpustakaan maka mereka telah memilih aktiviti yang baik iaitu mereka suka membaca buku. Sebab itu kata beliau pihak pengurusan dan kakitangan perpustakaan bertanggungjawab memastikan perpustakaan berada dalam keadaan yang amat selesa dan menyeronokan.

Cafe yang dibuat dengan konsep starbuck tetapi menjual nasi lemak dan kuih muih serta teh tarik dengan harga yang begitu murah.

Pengunjung perpustakaan diminta menanggalkan kasut dan pihak PPAS menyediakan beg kain untuk menyimpan kasut. Keadaan perpustakaan amat selesa dan menyenangkan ditambah dengan pengunjung yang tidak memakai kasut ketika berada di setiap tingkat PPAS.

Sudah pastinya kata Mastura sambutan itu memberi satu signal daripada masyarakat bahawa kerajaan perlu menyediakan perpustakaan dengan kualiti, selesa dan santai. Katanya, jika ada pihak yang mendakwa masyarakat Malaysia tidak suka membaca, itu merupakan satu tuduhan yang tidak benar.

Sebenarnya kata beliau kerajaan perlu menyediakan satu tempat yang selesai dan santai untuk menarik minat rakyat datang ke perpustakaan.

Bukti yang rakyat Malaysia suka membaca apabila perpustakaan cawangan dibuka di Seri Manja di Taman Medan, iaitu satu kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi. Suatu hari ada dikalangan remaja yang bergaduh dalam perpustakaan, ini membuktikan bahawa kejayaan PPAS menarik minat remaja yang bermasalah datang ke perpustakaan.

Perpustakaan cawangan akan dibuka terus di Semenyih, Bukit Beruntung, Rawang, Sungai Udang (Klang), Ampang, Hulu Langat dan Kuala Langat.

Penyediaan surau di setiap tingkat bertujuan memberi kemudahan kepada pengunjung menunaikan solat. Mastura bukan sahaja mahu menarik minat rakyat Selangor gemar membaca tetapi lebih utama mengingati dan menyayangi Allah.

Dengan ilmu rakyat boleh menjadi baik, ilmu juga akan menjadikan negeri Selangor sifar jenayah. Maka, akan tercapai cita-cita kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menjadikan Selangor sebuah negeri yang indah dan bahagia serta mendapat keampunan daripada Tuhan.

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Sunset by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP